Sekatan AS tidak pengaruhi pelanggan terbesar Sime Darby Plantation | DagangNews Skip to main content

Sekatan AS tidak pengaruhi pelanggan terbesar Sime Darby Plantation

Sime Darby Plantation

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menyekat minyak sawit Sime Darby  Plantation Bhd. (SDP) dilihat tidak mengambil keputusan menyeluruh yang sama kepada pelanggan terbesar SDP.

 

Pengarah Urusan Sime Darby Oils Sdn. Bhd., Mohd. Haris Mohd. Arshad berkata, pihaknya telah memberi masa yang mencukupi kepada syarikat berkenaan untuk menyelesaikan isu tersebut dan perlu memaklumkan perkembangan semasa.

 

"Mereka tidak membuat keputusan menyeluruh melarang produk oleh SDP, bagi saya, ia satu kelegaan yang besar,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

Hujung tahun lalu, AS mengenakan sekatan terhadap minyak sawit dan produk minyak sawit yang dikeluarkan SDP dan syarikat subsidiarinya.

 

Arahan tersebut dikeluarkan susulan siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP).

 

CBP mendakwa, SDP melanggar undang-undang menggunakan buruh paksa yang dibuat oleh kumpulan anti pemerdagangan manusia Liberty Shared (LS) yang berpangkalan di Hong Kong.

 

Mohd. Haris berkata, SDP berusaha keras untuk menangani isu tersebut dengan terus mengadakan perbincangan bersama CBP dan LS, walaupun tiada perkembangan disediakan oleh CBP mengenai dapatan siasatan oleh LS.

 

“Malangnya, tiada (perkembangan terkini mengenai dapatan tersebut)  tetapi kami sentiasa berbincang dengan mereka dan kami telah melantik sebuah firma guaman untuk membantu kami berhubung dengan CBP di Washington.

 

“Kami tidak tahu apa tuduhannya. Kami menghubungi LS dan penyiasat di sini di Malaysia, tetapi tiada apa yang khusus dimaklumkan.

 

"SDP mengambil berat berhubung isu itu kerana ia adalah satu tuduhan yang serius yang menyentuh pelanggaran hak asasi manusia," tambah beliau.

 

Sekiranya pelanggaran itu benar-benar berlaku dalam SDP, pihaknya akan mengambil tindakan kerana pihak yang dianiaya itu berdepan dengan risiko dan membawa kepada masalah industri yang lebih besar. - DagangNews.com