Skip to main content

Sektor ladang sawit bantah penyenaraian dalam Akta HRDF

 

KUALA LUMPUR 8 April - Persatuan-persatuan perladangan yang mewakili rantaian bekalan industri perladangan minyak sawit Malaysia, membantah tindakan menyenaraikan sektor tersebut dalam Akta Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

 

Persatuan tersebut adalah Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA), Persatuan Pengeluar-Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Persatuan Pemilik-pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengilang Kelapa Sawit (POMA).

 

Bantahan itu turut disuarakan oleh Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM), Pengeluar Oleokimia Malaysia (MOMG), Persatuan Pekilang-Pekilang Minyak Makan Malaya (MEOMA), Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), Gabungan Persatuan Peladang (ISP) dan Persatuan Perundingan Majikan-Majikan Sabah (SECA).

 

Dalam kenyataan bersama pada Rabu, persatuan itu menyifatkan akta yang menetapkan bayaran 1% bagi levi HRDF,  sebagai tidak sesuai dan tidak memberi manfaat kepada sektor yang sebaliknya banyak bergantung kepada pekerja asing.

 

Oleh itu, persatuan terbabit merayu agar bayaran tersebut dikecualikan bagi tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan bagi membolehkan sesi libat urus yang inklusif dan berkesan dengan pihak berkepentingan dalam sektor perladangan dan kerajaan.

 

“Usaha sedemikian secara konstruktif dapat memberi kemudahan dari segi (mewujudkan) platform yang terbuka serta telus untuk meneliti levi tambahan di bawah perluasan Perintah HRDF 2021 yang diwajibkan.

 

“Menerusi tindakan sedemikian, ia dapat membuktikan objektif kerajaan untuk mencapai saranan menang-menang atau saling menguntungkan dalam kerjasama inklusif dengan sektor swasta ke arah meningkatkan semula ekonomi Malaysia dalam tempoh pemulihan pasca-pandemik,” kata kenyataan itu.

 

Persatuan terbabit juga merayu supaya Menteri Sumber Manusia mempercepat dan memudahkan sesi libat urus antara pegawai kementerian dan wakil industri bagi mengemukakan saranan saling memanfaatkan berkaitan sumbangan sektor perladangan terhadap levi HRDF.

 

“Pada masa sama, persatuan-persatuan itu merayu agar Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bertindak memperakui keadaan yang dihadapi oleh industri di bawah kendalian beliau dan membawa perkara tersebut kepada Menteri Sumber Manusia,” katanya.

 

Persatuan-persatuan itu juga mencadangkan supaya majikan dalam sektor perladangan diberi pilihan untuk membuat caruman/sumbangan levi HRDF secara sukarela pada kadar lebih rendah rendah 0.5%.

 

“Ini mengambil kira keadaan jualan serta eksport yang lebih perlahan ketika pandemik COVID-19 dan syarikat akan lebih menghargainya jika lebihan dana itu sebaliknya disalurkan bagi menampung keperluan perniagaan masing-masing,” katanya.

 

Menurut persatuan terbabit, pihak HRDF perlu bekerjasama erat dengan persatuan relevan bagi merangka serta menyusun program-program latihan yang disifatkan lebih relevan dan efektif kepada pihak penyumbang.

 

Sektor perladangan dikecualikan sejak 28 tahun lepas apabila akta tersebut dirangka pada 1 Januari, 1993. Malah, menerusi usaha membabitkan sektor perladangan dan pihak berkuasa pada 1992, 1999, 2011 dan 2018, Kementerian Sumber Manusia merumuskan bahawa program HRDF itu tidak sesuai bagi sektor perladangan, sekali gus mengecualikan industri berkenaan daripada akta tersebut. - DagangNews.com