Sektor pelancongan kini jadi bidang tumpuan baharu Perak Tengah  | DagangNews Skip to main content

Sektor pelancongan kini jadi bidang tumpuan baharu Perak Tengah 

Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu di Kampung Kepayang Bota Kiri yang mempamerkan budaya Istana silam sering menggamit kedatangan pelancong. - Gambar DagangNews.com
oleh ZAKI SALLEH

SERI ISKANDAR 12 Ogos - Lebih 30 tempat menarik meliputi sejarah, warisan, seni dan tempat makan popular akan dimasukkan dalam peta pelancongan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) yang sedang dikemaskini.

 

Inisiatif ini bertujuan meletakkan daerah tersebut sebagai satu lagi destinasi yang menarik untuk dikunjungi pengunjung luar termasuk memudahkan pelancong asing.

 

Antaranya tenunan songket, pusat konservasi tuntong, Pulau Misa Melayu di Kampung Kepayang Bota Kiri dan Restoran Mi Hailam Pekan Parit.

 

Turut disenaraikan ialah Rumah Datuk Maharajalela di Kampung Gajah, bengkel tembikar labu tampa dan perusahaan pekasam ikan sungai.

 

Terdapat juga galeri seni daripada karyawan profesional Universiti Teknologi Mara kampus Seri Iskandar selain artis seni tempatan yang ramai di Daerah Perak Tengah.

 

Penyelaras Pelancongan Daerah Perak Tengah, Iskandar Alif Pahrurazi berkata, peta pelancongan itu juga akan meletakkan sektor pelancongan sebagai bidang baharu pihak berkuasa tempatan berkenaan.

 

Menurut beliau, ia penting setelah melihat potensi  sektor itu untuk menjadi penyumbang pada pendapatan pengusaha-pengusaha produk pelancongan tempatan yang sebelum ini bergerak secara kecil-kecilan.

 

"Kelebihan Daerah Perak Tengah ialah di sini bermulanya sejarah Kesultanan Melayu Perak dengan makam-makam lama serta tinggalan sejarah berkaitan.


 

perak
Perusahaan tembikar labu tampa di Kampung Gajah ini adalah satu-satunya yang masih wujud di daerah Perak Tengah.

 


"Tanah Abang yang terletak di tebing Sungai Perak dekat Lambor merupakan pusat pemerintahan Sultan Perak yang pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah 1. 

 

"Baginda dimakamkan di situ yang kini dikenali sebagai Kampung Padang Marhum," ujar beliau.

 

Perak Tengah bersempadan dengan Daerah Kuala Kangsar sebelah selatan, daerah sebelah Timur dan Daerah Manjong sebelah barat. 

 

Daerah Perak Tengah meliputi kawasan seluas kira-kira 12,205 hektar (1282.05km) persegi yang merangkumi 11 buah mukim yang terletak di bahagian tengah negeri Perak. 


 

perak
Faridatul Azna merupakan penenun songket tunggal di Daerah Perak Tengah yang mana hasil tenunannya turut memikat Istana Perak.

 

perak
Galeri Seni Kapallorek di Bandar Universiti Seri Iskandar menjadi tumpuan pencinta seni lukis dan seni halus tempatan termasuk para pelajar universiti.

 


Kata Iskandar Alif, peta pelancongan ini juga memudahkan syarikat pelancongan untuk mengetengahkan lokasi-lokasi tersebut sebagai destinasi pilihan.

 

"Satu lagi keistimewaan Daerah Perak Tengah ialah ia kaya dengan binaan rumah-rumah lama Melayu Perak. Ini juga menjadi kegemaran pencinta seni bina.

 

"Ini juga tarikan yang kita hendak ketengahkan," ujarnya. - DagangNews.com