Serba Dinamik saman KPMG atas dakwaan cuai, bukan kerana lapor SC | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik saman KPMG atas dakwaan cuai, bukan kerana lapor SC

 

SHAH ALAM 24 Jun – Serba Dinamik Holdings Berhad menyaman KPMG bukan disebabkan laporan juruadit luar itu kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebaliknya cara firma tersebut melaksanakan audit mereka.

 

"Serba Dinamik `berpatah arang’ dengan KPMG yang telah menjadi juruaudit syarikat selama tujuh tahun, tiba-tiba menjadi bagaikan orang asing apabila enggan duduk semeja berbincang bersama pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

 

"KPMG didakwa mengambil jalan pintas di dalam melakukan tugas mereka dengan meminta Serba Dinamik pula untuk melantik pasukan forensik dan pada masa sama, membuat aduan kepada pihak berkuasa," menurut Berita Harian yang memetik sumber rapat syarikat hari ini.

 

“Syarikat tidak ada benda hendak disorok dan yakin, perbicaraan mahkamah ini akan mendedahkan kebenaran mengenai kedudukan Serba Dinamik serta tindak-tanduk KPMG.

 

“Serba Dinamik sebenarnya mengambil tindakan undang-undang ke atas KPMG berdasarkan Seksyen 320 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA) 2007 sebagai sebahagian daripadan tuntutan mereka,” kata sumber yang rapat dengan hal ehwal korporat.

 

Perlu dinyatakan Seksyen 320(2) CMSA menggariskan “juruaudit tidak layak disaman atas sebarang laporan yang dikemukakan olehnya dengan secara jujur dan bertujuan melaksanakan sebarang tugas yang diarahkan ke atas juruaudit”.

 

Malah Seksyen 320(1) mengkehendaki juruaudit membentuk pendapat profesional secara yang terang bahawa adanya pelanggaran undang-undang sebelum mereka boleh membuat laporan kepada SC.

 

“Mengambil kira fakta tersebut di mana KPMG didakwa melakukan kerja pengauditan yang substandard, firma juruaudit itu tidak dapat membentuk pendapat profesional mengenainya dan oleh itu, tidak mungkin bertindak dengan jujur, malah sebenarnya mereka bertindak dengan niat tidak baik.

 

“Ia adalah satu daripada hujah mengapa KPMG disaman kerana melanggar tugasan statutori mengikut Seksyen 320 CMSA,” ujarnya.

 

Menurut beliau, definisi keputusan profesional adalah “memastikan ia benar-benar berlaku pelanggaran undang-undang bukan hanya di peringkat tanggapan”.

 

“Keputusan KPMG menuntut audit bebas dilakukan untuk mensahihkan dapatan KPMG turut menjadi persoalan, seolah-olah laporan telah dibuat tanpa mendapatkan sebarang kepastian terlebih dahulu. Tindakan tergesa-gesa ini juga menimbulkan tanda-tanya niat sebenar laporan dilakukan,” katanya.

 

Antara dakwaan terhadap KPMG ialah:

  • Tidak membuat pengesahan secara teratur
  • Tidak berhubung dengan pihak diaudit
  • Tidak mempedulikan respons pihak diaudit
  • Menyalahkan Serba Dinamik mengenai kesilapan dan kecuaian sendiri lalu enggan menyiapkan audit.

 

“Atas fakta di atas, hasrat Serba Dinamik menyingkirkan KPMG bukanlah sesuatu yang drastik atau luar biasa. Baru-baru ini, Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd dan Malaysia Building Society Bhd melantik firma lain sebagai juruaudit mereka, menggantikan KPMG,” kata pegawai itu lagi.
 

Menurut beliau, antara butirannya adalah seperti berikut :
 

  1. KPMG telah membuat kesimpulan bahawa beberapa individu yang menandatangani permintaan ke atas pengesahan audit bagi pihak syarikat mereka - pelanggan dan pembekal Serba Dinamik - tidak wujud, hanya berdasarkan panggilan yang dibuat kepada penyambut tetamu syarikat-syarikat ini untuk mengesahkan identiti berkenaan. 

    Ini walaupun setelah pihak kakitangan kanan syarikat tersebut mengesahkan kewujudan individu terbabit, namun tiada tindakan selanjutnya yang diambil oleh KPMG.


     
  2. Dalam contoh lain yang melibatkan vendor asing dari Timur Tengah, KPMG telah menjalankan lawatan ke lokasi untuk mengesahkan keberadaan pejabat mereka dan menyimpulkan bahawa pejabat berkenaan tidak wujud. 

    Setelah pemeriksaan dilakukan ke atas perkara itu, Serba Dinamik segera memaklumkan KPMG bahawa alamat berkenaan mempunyai gabungan angka dan huruf Arab yang disalah tafsir juruaudit tersebut yang seterusnya membawa mereka ke alamat yang salah. Serba Dinamik mengemukakan bukti alamat sebenar dan pejabat itu, namun KPMG enggan mengesahkannya.


     
  3. Dalam isu pengesahan nombor telefon vendor Serba Dinamik, syarikat mendakwa bahawa KPMG bergantung kepada aplikasi buku telefon dari sumber terbuka iaitu ‘TrueCaller’ di mana dilihat menyediakan hasil carian tidak tepat ke atas pemilikan nombor tersebut. 

    Setelah pengesahan dibuat, Serba Dinamik berjaya memperoleh bil telefon rasmi yang didaftarkan di bawah nama vendor berkenaan, namun tiada tindakan diambil oleh KPMG bagi mengesahkannya.


     
  4. KPMG timbulkan isu percanggahan kontrak IT yang melibatkan vendor asing di mana dalam kontrak tersebut nama syarikat yang terlibat ditetapkan sebagai L.L.P.

    Dalam invois syarikat berkenaan yang seterusnya merujuk diri mereka dengan LLP. Serba Dinamik, perbezaan kedua-dua singkatan ini serupa dengan isu syarikat yang mempunyai "Sdn. Bhd." dan "Sdn Bhd" di mana perkara-perkara ini tidak bersifat substantif dan mudah diselesaikan. - DagangNews.com

 

 

BACA : Serba Dinamik saman KPMG atas dakwaan cuai (22 Jun 2021)