Serba Dinamik umum bekas ketua SB anggotai Lembaga Pengarah | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik umum bekas ketua SB anggotai Lembaga Pengarah

Mohamed Farid Abu Hassan

 

SHAH ALAM  8 Julai - Syarikat perkhidmatan minyak dan gas global, Serba Dinamik Holdings Berhad melantik bekas ketua Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia, Mohamed Farid Abu Hassan sebagai ahli baharu Lembaga Pengarahnya.

 

Dalam laporan kepada Bursa Malaysia, Turut dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif ialah Siti Zaleha Sulaiman pula merupakan pakar risiko perusahaan, kedua-duanya berkuatkuasa 7 Julai.

 

Pelantikan kedua-dua mereka adalah sebagai mengisi kekosongan lembaga pengarah susulan perletakan jawatan lima pengarah akhir bulan lepas, sebagai memprotes tindakan Serba Dinamik menyaman bekas juruaudit syarikat, KPMG.

 

Pengumuman ini juga selari dengan arahan Bursa Malaysia supaya Serba Dinamik segera mengisi kekosongan tersebut, selain melantik juruadit Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) sebagai penilai bebas bagi menyelidik isu yang dibangkitkan oleh KPMG.

 

Menurut Serba Dinamik kepada bursa, Farid yang merupakan bekas pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, memiliki ijazah sarjana di dalam Analisis Keselamatan dan Strategik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Beliau yang berkhidmat di dalam PDRM selama 42 tahun, pernah menyertai kursus keselamatan dan perisikan di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia sebelum bersara bulan lepas dengan pangkat sebagai Pesuruhjaya Polis.

 

Siti Zaleha pula merupakan pakar pengurusan risiko perusahaan bertauliah, memiliki ijazah sarjanan di dalam Sains Komputer dari University of Miami. Dalam kerjaya hampir 3 dekad, beliau pernah memegang pelbagai jawatan kanan di Bank Negara dan terakhir di Bursa Malaysia sebagai ketua pengurusan risiko korporat.

 

Siti Zaleha Sulaiman
Siti Zaleha Sulaiman

 

Siti Zaleha juga merupakan ahli Lembaga Pengarah sebagai pengarah bebas bukan eksekutif.

 

Menurut sumber, syarikat bakal mengumumkan beberapa lagi nama pengarah baharu dalam masa terdekat. - DagangNews.com