Skip to main content

Sesekali bila Tengku Zafrul menjawab parti pembangkang

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

BANYAK tahun dulu, pertama kali bersua Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz ketika beliau masih di Kenanga Holdings. Kami berkongsi lif untuk ke majlis rumah terbuka Aidilfitri Ambank di Jalan Yap Kwan Seng.

 

Seminit dua bersama beliau ketika itu memberi first impression yang kekal ke hari ini. Tengku Zafrul adalah peramah. Dengan senyuman di bibir beliau menyapa saya. Tiada perbualan spesifik. Sekadar mengisi masa untuk sampai ke tingkat atas.

 

Pada Julai lepas, kami bersua lagi. Kali ini pada majlis pelancaran barangan Liverpool sempena kejuaraan kelab bagi musim 2019/20. Saya sekadar ambil kesempatan berseloroh dengan beliau supaya tidak melayan rakan dari TV3 yang diketahui menyokong Manchester United. Rakan tersebut terpaksa hadir sebab tugasan membuat liputan acara Tengku Zafrul yang berkongsi mengetawakannya.

 

aaa

 

Jadi, satu-satunya yang sama pada saya dengan Tengku Zafrul ialah Liverpool. Memang awal dulu `sama naik lif’ tapi ia tidak bermakna saya kenal mesra dengan beliau, dan sememangnya beliau tidak kenal saya sama sekali, apalagi ingat cerita naik satu lif. Malah ia tiada signifikan langsung dengan apa yang hendak saya Merrepak hari ini.

 

Pada 8 Disember baru ini, tidak semena-mena Tengku Zafrul menulis di dalam media sosialnya, menjawab kritikan-kritikan daripada Pakatan Harapan. Barang harus diingat, status Tengku Zafrul adalah Ahli Dewan Negara atau Senator, yang dilantik bagi membolehkannya menganggotai Kabinet Persekutuan sebagai Menteri Kewangan.

 

Mengikut pemikiran sejagat, langkah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan Tengku Zafrul menjaga portfolio paling diidam ramai, paling panas dan paling sensitif dalam perundingan kuasa kalangan anggota parti Perikatan Nasional itu adalah bagi menyakinkan semua bahawa Tengku Zafrul akan berkhidmat tanpa memilih ideologi parti.

 

Beliau merupakan CEO dan Pengarah Eksekutif Kumpulan CIMB Bank ketika diumumkan sebagai menteri. Ini bermakna pemilihan beliau adalah berdasarkan kepakaran dan pengetahuannya bukan sahaja di dalam sektor perbankan tetapi ekonomi secara keseluruhannya. Dan lantikan sedemikian bukan pertama kali dilakukan kerajaan seperti Tan Sri Abdul Wahid Omar dari Maybank.

 

Jadi apakah yang mendorong Tengku Zafrul menerbitkan tulisannya pada 8 Disember lalu? Apakah ia bermakna beliau sudah menjadi ahli parti politik kerana `turun bermain di pentas politik apabila menjawab kritikan daripada parti politik pembangkang?”

 

aaa

 

Mari kita menyorot semula perkara yang dijawab oleh Tengku Zafrul. Isu yang dibicarakan ialah soal penarafan firma luar negara ke atas prestasi ekonomi negara. Fakta : penarafan diturunkan. Firma Fitch menurunkan daripada A- kepada BBB+ yang bagi budak darjah enam pun tahu, ini bukan sesuatu yang baik kepada markah tahunan.

 

“Saya sudah menjangkakan ini akan dijadikan modal politik untuk menyerang Kerajaan, tetapi amat mengecewakan apabila pemimpin-pemimpin PH yang menandatangani kenyataan media tersebut, adalah mereka yang selama ini berkata yang sebaliknya,” tulis Tengku Zafrul.

 

Well Sir, welcome to the jungle! Bagi kluster apolitical seperti saya, Tengku Zafrul hanya menulis apa yang kita semua sudah tahu. Dalam politik Malaysia hari ini, dolak-dalik dan perubahan pendirian sekelip mata sudah menjadi kelumrahan.

 

Lihat apa yang berlaku di Perak. UMNO dan serpihan UMNO bertempur, Pas yang cuba main tengah-tengah, sekarang terkapai-kapai sehingga harus memohon ampun kepada Sultan Perak, gara-gara dititah mengadap dijawab tidak endah.

 

aaa
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

 

Di Perak juga, undi tidak percaya ke atas Menteri Besar Bersatu tidak mungkin mencapai angka sedemikian besar, jika tidak ada undi tumpang sekaki dari DAP. Begitu meruncing suasana seketika bila terdengar bisikan kononnya kerajaan Perak akan mengandungi kerajaan campuran UMNO dan DAP, sesuatu yang menyeramkan bukan sahaja ahli akar umbi UMNO tetapi juga DAP sendiri.

 

Inilah kesan yang sudah dijangkakan bila kerajaan Persekutuan pimpinan Muhyiddin sekadar memiliki majoriti yang tipis. Setiap masa akan berlaku suasana cemas, kadang-kadang menjadi kenyataan seperti di Perak.

 

Dan faktor ketidaktentuan situasi politik negara ini jugalah menjadi penyebab firma Fitch menurunkan setakuk penarafan Malaysia.

 

Persoalan seterusnya, apakah kewajaran Tengku Zafrul melepaskan yang terbuku di hatinya mengenai tindak-tanduk parti pembangkang? Beliau berbuat demikian atas kapasiti sebagai Menteri Kewangan semata-mata. Status sebagai bukan ahli mana-mana parti, menjadikannya `suara yang memiliki kewibawaan’ untuk mewakili rakyat yang ramai.

 

Bahawa segala yang dikritik oleh parti pembangkang itu, tidak syak lagi semata-mata untuk meraih markah politik.

 

Walaupun di dalam kritikan mereka ke atas kerajaan mengandungi angka-angka untuk menyokong hujah seperti dalam sektor pelancongan, niat di sebaliknya dapat mudah dibaca.

 

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di dalam satu daripada kenyataan medianya menggunakan perkataan `mengejutkan’ bila menyebut kerugian RM54 bilion untuk 9 bulan pertama tahun ini bagi sektor pelancongan.

 

Pemilihan perkataan bernada bombastik itu memang disengajakan kerana bagi yang mengikuti secara dekat perkembangan ekonomi dunia, kejatuhan itu sememangnya sudah dijangka kerana sejak COVID-19 meletup awal tahun, langit telah menjadi tenang tanpa kehadiran kapal terbang lalu-lalang, pintu sempadan ditutup dan pergerakan dihadkan.

 

Jadi bab mana yang mengejutkan?

 

Meneliti satu demi satu pernyataan Guan Eng, beliau menyatakan: “Malangnya, kerajaan Persekutuan PN tiada langkah bantuan kewangan mencukupi untuk mengimbangi kerugian RM54 bilion dalam terimaan pelancongan.

“Pemberian kewangan dan kredit pinjaman tidak mencukupi, dan keluhan paling besar adalah kesukaran mendapatkan pinjaman daripada pihak bank.

“Namun kerajaan terus mengambil pendekatan tidak menerima dan mengelak kebenaran dengan meramalkan bahawa purata penghunian hotel untuk tahun 2020 akan menjadi 61.1% dan 58.4% pada tahun 2021. Unjuran palsu dan tidak realistik seperti ini tidak membantu industri pelancongan untuk terus bertahan”.

 

Untuk anda yang sekadar membaca satu platform, tentunya ini benar-benar mengejutkan. Tetapi bagi anda yang membaca lebih dan memeriksa kesahihan sesuatu berita, hujah parti pembangkang ini tidak berapa tepat.

 

Ini kerana ia menggambarkan seolah-olah sektor pelancongan tidak diendahkan sama sekali, sedangkan faktanya kerajaan memberi fokus khusus kepada sektor pelancongan di dalam Belanjawan 2021. Pergilah semak sendiri. Semua ada di situ. Saya tampal infografik ringkasan butiran. Tak larat hendak tulis semula.

 

aaa

 

Jadi apakah Tengku Zafrul wajar membalas kritikan pembangkang? Ya wajar. Statusnya sebagai Senator yang tidak berpaksi kepada mana-mana parti, memberi isyarat jelas beliau bersuara mewakili rakyat dan tidak didorong oleh sentimen ideologi kepartian.

 

Wajarkah Tengku Zafrul melakukan perkara seumpamanya di masa mendatang? Entahlah. Kritikan akan tetap datang. Sebab ini memang kerja parti pembangkang. Hendak tak hendak, kena jugalah jawab.

 

Kalau Ahli Parlimen yang dipilih tidak mampu bersuara menjawab parti pembangkang, maka haruslah Tengku Zafrul memikul peranan ini. Sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.      – DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Editor DagangNews.com dan bekas Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Gurindam Jiwa berulang-ulang kali. 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud dengan `membebel'.