Skip to main content
Kolum Anekdot Mawarith - 18 October 2021

Wasiyyah

SIAPA JAGA HARTA ANAK BAWAH UMUR 18 TAHUN?

 

 

DALAM zaman COVID-19 ini, banyak kes kita jumpa di mana ayah mati meninggalkan anak di bawah umur 18 tahun.

 

Banyak juga kes yang kita jumpa, ibu bapa itu mati berturutan akibat COVID-19 dan anak-anak bawah umur 18 tahun mereka menjadi anak yatim piatu.

 

Isu yang kita nak bincang minggu ini ialah siapakah yang akan bertindak sebagai penjaga harta kepada anak-anak yatim piatu bawah umur ini? 

 

Walaupun saya pernah mengulas isu ini, namun artikel saya kali ini lain sedikit sebab saya akan  kaitkan isu penjaga harta dengan fungsi dan bidang kuasa syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai penjaga harta.

  

Bidang kuasa syarikat amanah sebagai penjaga harta untuk anak di bawah umur 18 tahun memang telah diperincikan dengan sangat jelas di dalam Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100).

 

Akta ini mengikat semua syarikat amanah berdaftar di Malaysia seperti Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Syarikat amanah melapor kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang merupakan regulator kepada industri amanah harta di Malaysia.

 

Suruhanjaya Syarikat Malaysia akan memastikan semua syarikat amanah beroperasi berdasarkan peruntukan undang-undang ini.

 

Bagi tujuan penjaga harta, peruntukan 8 (1) (a) memberikan kuasa kepada Wasiyyah Shoppe Berhad untuk bertindak sebagai  penjaga harta untuk seorang budak.  

 

Ramai masyarakat di luar sana TIDAK MENGETAHUI kelebihan Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai penjaga harta kerana topik ini jarang dibincangkan. Malah kepentingan pelantikan penjaga harta itu sendiri pun jarang dibincangkan masyarakat.  

 

 

Wasiyyah

 

 

APA YANG MASYARAKAT TIDAK KETAHUI

Bila sebut pasal harta pusaka, yang biasa terlintas dalam fikiran masyarakat ialah bagaimana nak mengagihkan harta ini kepada sesiapa yang dikehendaki. Isu ini biasanya diselesaikan  melalui penyediaan hibah, wasiat atau amanah.

 

Namun antara isu  yang tidak diketahui dan  sangat jarang diteliti masyarakat ialah sekiranya penerima harta pusaka itu berdasarkan hukum faraid, wasiat atau hibah adalah seorang kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, maka seorang penjaga harta perlu dilantik bagi memegang harta itu secara amanah bagi pihaknya. Kanak-kanak tidak boleh menerima harta untuk diri sendiri.  

 

Mengikut undang-undang di Malaysia, kuasa melantik penjaga harta ini adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui Seksyen 88 Akta Pentabiran Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 dan enakmen pentadbiran keluarga Islam negeri-negeri bagi seksyen yang berkenaan.

 

Namun dalam keadaan tertentu, kami pernah juga berjumpa situasi di mana Mahkamah Tinggi Sivil menggunakan kuasanya untuk melantik guardian ad litem bagi tujuan yang sama untuk kes simati yang beragama Islam.

 

Mengikut seksyen 88 itu, selain dari kedudukan bapa kandung sebagai penjaga hakiki harta untuk anak itu, Mahkamah Syariah juga boleh melantik penjaga harta yang lain mengikut turutan iaitu datuk lelaki sebelah bapa, wasi yang dilantik oleh wasiat bapa, wasi kepada wasi bapa, wasi kepada datuk lelaki di sebelah bapa dan wasi kepada wasi datuk di sebelah bapa.

 

MESTI MELANTIK PENJAGA HARTA!  

Walaupun undang-undang telah menetapkan turutan penjaga harta seperti di atas, saya selalu nasihatkan masyarakat terutamanya kepada ayah, untuk melantik penjaga harta anak mereka di dalam wasiat.

 

Mereka boleh melantik pasangan mereka iaitu ibu kepada anak itu sebagai penjaga harta.

 

Jadi tidaklah pasangan atau ibu anak itu bermasalah jika penjaga harta yang dilantik Mahkamah Syariah ialah pihak-pihak di atas yang mungkin tidak mempunyai hubungan baik dengan pasangan atau ibu anak itu.

 

Bayangkan betapa kecohnya jika anak itu dipelihara oleh ibunya sedangkan harta anak itu dikawal oleh pihak lain.

 

Namun pelantikan penjaga harta individu walaupun ia sah dan berkuatkuasa jika dibuat melalui wasiat, ia tetap mendatangkan risiko kepada anak di bawah umur 18 tahun itu kerana penjaga harta individu itu berkemungkinan menyalahgunakan harta yang di bawah jagaannya untuk kepentingan sendiri atau berlaku sesuatu insiden kepada penjaga harta itu.

 

Apa jadi jika ibu kepada anak itu yang mendapat hak sebagai penjaga harta, berkahwin semula dengan lelaki lain?

 

Adakah ibu itu boleh menjamin harta milik anaknya akan dipegangnya secara penuh beramanah?

 

Bagaimana pula jika si ibu itu meninggal dunia dan harta amanah yang dipegangnya itu dituntut oleh waris-waris lain mengikut hukum faraid?

 

Bagi menjaga kepentingan anak di bawah umur itulah,  Wasiyyah Shoppe Berhad selalu mencadangkan supaya Wasiyyah Shoppe Berhad dilantik sebagai penjaga harta.

 

Kuasa kami mengikut Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) seksyen 8 (1) (a) adalah sangat jelas.

 

 Wasiyyah

 

 

APA YANG WASIYYAH SHOPPE BERHAD BOLEH LAKUKAN SEBAGAI PENJAGA HARTA?

Berdasarkan peruntukan yang sama (Seksyen 88 di atas) dan Seksyen 8(1)(a)  Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) itu, Wasiyyah Shoppe Berhad boleh dilantik sebagai penjaga harta anak di bawah umur 18 tahun di dalam wasiat.

 

Sekiranya berlaku kematian dan Wasiyyah Shoppe Berhad yang disahkan sebagai penjaga harta telah menerima harta yang menjadi milik anak itu sebagai pemegang amanah, satu akaun amanah akan dibuka di atas nama anak tersebut.

 

Kami akan menggunakan bidang kuasa sebagai syarikat amanah untuk menyiasat siapakah yang menjadi penjaga (hadhinah) anak itu.

 

Kami juga boleh menyiasat berapakah jumlah keperluan kewangan untuk tujuan saradiri anak itu dan membayar secara bulanan keperluan tersebut  kepada penjaga (hadhinah) berkenaan.

 

Keperluan lain seperti persediaan menyambut hari perayaan, perbelanjaan perubatan, perbelanjaan pendidikan atau lain-lain keperluan berkaitan juga boleh diperuntukkan.   

 

Kaedah penggunaan Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai penjaga harta ini akan memastikan harta tersebut akan digunakan sepenuhnya mengikut keperluan anak itu dan ia akan diuruskan secara profesional sekaligus mengurangkan risiko penyelewengan oleh mana-mana pihak.

 

Apabila anak ini sudah berumur 18 tahun, Wasiyyah Shoppe Berhad akan menutup akaun amanah dan membayar semua baki akaun amanah tersebut (jika ada) kepada anak itu untuk diuruskan sendiri. 

 

Jadi anda kena tanya soalan ini, anda sudah melantik penjaga harta untuk anak anda yang di bawah umur 18 tahun?

 

Walaupun anda telah memperuntukkan harta untuk mereka, pernahkah terlintas di fikiran anda tentang isu pengurusan ini?

 

Jika belum, Wasiyyah Shoppe Berhad sedia membantu.

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd.

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Portfolio Tags