Siasatan RCI: Tabung Haji beri kerjasama sepenuhnya | DagangNews Skip to main content

Siasatan RCI: Tabung Haji beri kerjasama sepenuhnya

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik pengumuman ahli-ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan akan memastikan perkhidmatan dan operasi hariannya tetap berjalan lancar seperti biasa.

 

Sebagai institusi kewangan yang menyediakan kemudahan bagi umat Islam seluruh negara menyimpan wang untuk mengerjakan ibadat haji, sokongan dan kepercayaan masyarakat amat penting untuk TH meneruskan mandatnya.

 

Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, proses RCI akan menguatkan lagi TH sebagai suatu institusi kewangan Islam negara dan antarabangsa yang telah lama berkhidmat dengan rekod cemerlang sejak 1963.

 

“Alhamdulillah, dengan usaha semua pihak, TH terus mencapai beberapa kemajuan kebelakangan ini dan kini berada pada landasan kewangan dan operasi yang baik dan kukuh. 

 

"Jumlah simpanan deposit yang dijamin oleh kerajaan telah mencecah RM83.3 bilion pada 31 Disember 2021. Jumlah ini adalah tertinggi dalam sejarah TH walaupun keadaan ekonomi dan pasaran yang mencabar akibat wabak COVID-19 sejak dua tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Semalam, kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penubuhan RCI untuk menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian TH dari 2014 hingga 2020.

 

Baginda turut memperkenankan pelantikan enam Ahli RCI itu, yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin pula berkata, TH akan memberikan kerjasama sepenuhnya berdasarkan lunas-lunas perundangan bagi kelancaran proses RCI.

 

“Operasi harian, aktiviti pelaburan serta perkhidmatan yang disediakan TH kepada para pendeposit tetap berjalan seperti biasa. TH juga yakin, hasil dapatan dan pandangan daripada ahli-ahli RCI akan dapat membantu menambah baik aspek tadbir urus dan pengurusan TH pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com