KUALA LUMPUR 23 Ogos - Sime Darby Plantation Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM812 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 dengan pendapatan berjumlah RM5.59 bilion, masing-masing meningkat 32% dan 27% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini menjadikan untung bersih bagi tempoh enam bulan meningkat 30% kepada RM1.53 bilion dengan pendapatan berjumlah RM9.97 bilion, setelah meningkat 23% daripada tahun kewangan 2021.
Harga minyak sawit mentah dan isirung sawit yang memberangsangkan terus menyokong prestasi tahun ke tahun yang lebih kukuh, walaupun pengeluaran tandan buah segar terjejas dengan masalah kekurangan buruh yang berpanjangan bagi operasinya di Malaysia.
Pada suku kedua, harga purata minyak sawit mentah dan isirung direalisasikan masing-masing meningkat 44% dan 40% tahun ke tahun kepada RM5,213 satu tan metrik dan RM3,339 satu tan metrik.
Sementara itu, segmen hiliran kumpulan, Sime Darby Oils merekodkan keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) sebanyak RM243 juta pada suku kedua, meningkat 66% daripada RM146 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan lebih tinggi itu disebabkan terutamanya margin yang lebih baik direkodkan daripada operasi Asia Pasifik kumpulan, sekali gus mengurangkan margin yang lebih rendah dalam operasi Eropah serta keseluruhan volum jualan yang lebih rendah.
Kumpulan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 10 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), lebih tinggi berbanding 7.90 sen pada FY21.
Pengerusi Sime Darby Plantation, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, kumpulan terus merekodkan prestasi yang mantap bagi suku kedua 2022.
"Memandangkan harga minyak sawit mentah mengalami pembetulan mendadak dan kekurangan buruh secara berterusan menjejaskan produktiviti, kami akan memberi tumpuan untuk mengurangkan kesan ini terhadap
pengeluaran di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, bagi menangani isu tersebut, kumpulan telah mengambil langkah berani untuk memperkasakan mekanisasi, automasi dan mendigitalkan kerja yang secara tradisinya dilakukan secara manual, sekali gus mengurangkan keperluan buruh.
Katanya, di sebalik rancangan untuk mengautomasikan operasi di Malaysia, kumpulan telah memulakan langkah baharu untuk mengubah kilang minyak sawit menjadi kemudahan keselamatan makanan yang diperakui di seluruh operasi.
"Dengan melaksanakan usaha ini, kami berazam untuk menarik lebih ramai bakat tempatan dan berkemahiran tinggi ke ladang kami dan komited untuk terus memimpin usaha yang membawa perubahan positif kepada industri," katanya.
Mengenai prospek bagi 2022, menurutnya, harga minyak sawit mentah dijangka kekal kukuh sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.
Namun, katanya, kelewatan pengambilan pekerja asing baharu akan terus menjejaskan aktiviti pengeluaran di Malaysia.
"Situasi ini dijangka menjejaskan pengeluaran keseluruhan tandan buah segar kumpulan, yang dijangka lebih rendah berbanding FY21.
"Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, kami menjangkakan prestasi bagi FY22 adalah memuaskan," jelasnya. - DagangNews.com