Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Dis - SIRIM STS Sdn Bhd, anak syarikat SIRIM Berhad telah dilantik sebagai penyelaras bagi pembangunan Standard Industri Rel Malaysia (MRIS).
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato' Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata inisiatif untuk membangunkan MRIS adalah sebahagian daripada inisiatif negara untuk memajukan dan menggalakkan daya saing industri rel negara.
Beliau berkata, SIRIM STS ditugaskan untuk membangunkan satu siri Standard Industri bagi komponen landasan kereta api iaitu ranjang landas konkrit, balast, pad rel, plat tapak, klip, pengikat, kimpalan – alumino dan kimpalan temu kilat.
"Pembangunan Standard Industri Rel Malaysia ini dijadualkan siap pada 31 Mei 2022.
"Ia dijangka memberi manfaat yang besar kepada Industri Rel Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pelantikan SIRIM STS sebagai sekretariat bagi standard industri rel baru-baru ini dibuat oleh TDA Berhad, sebuah agensi di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, yang ditubuhkan sebagai kustodian untuk mengoperasikan Rangka Kerja Pengurusan Program Kerjasama Industri Malaysia (ICP).
"Pembangunan standard industri ini akan melibatkan kerjasama dan penyertaan daripada rakan industri, China Communication Construction Company (M) Sdn Bhd – George Kent (M) Berhad (CGJV (M)), yang juga kontraktor pakej kerja, juga dikenali sebagai Pembekal ICP untuk projek MRT Laluan Putrajaya (Pakej SSP-SY-204)," katanya.
Ujarnya, satu Bengkel Pembangunan MRIS dengan penyertaan daripada semua pihak berkepentingan akan dianjurkan pada 17 Disember 2021 di Shah Alam untuk memulakan projek itu.
SIRIM STS yang ditubuhkan pada tahun 1997 merupakan anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad yang berperanan sebagai pusat sumber sehenti terkemuka untuk perkhidmatan yang berkaitan dengan pembangunan Standard Malaysia dan Standard Industri SIRIM.
Ia berfungsi sebagai WTO National Enquiry Point mengenai halangan teknikal kepada perdagangan, menyokong penyebaran pengetahuan melalui Perpustakaan Teknikal dan meningkatkan modal insan industri tempatan melalui latihan.
SIRIM STS berhasrat untuk membantu organisasi ke arah melaksanakan budaya perniagaan yang cemerlang dengan mengaitkan kualiti, teknologi dan amalan terbaik dalam tuntutan kerja harian mereka. -DagangNews.com