'Status' pelabur asing beralih pembeli bersih ekuiti Malaysia minggu lalu | DagangNews Skip to main content

'Status' pelabur asing beralih pembeli bersih ekuiti Malaysia minggu lalu

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mei - Buat pertama kalinya selepas menjual bersih ekuiti Malaysia untuk sembilan minggu berturut-turut, pelabur asing beralih kepada pembeli pada minggu lalu yang berakhir 21 Mac 2021. 

 

Ini menyaksikan aliran masuk berjumlah RM32.4 juta, menurut MIDF Research. 

 

Sebaik pasaran dibuka pada Isnin, MIDF berkata, pelabur asing telah menjual bersih RM74.3 juta ekuiti tempatan, dengan pelabur runcit dan institusi tempatan merupakan pembeli, masing-masing berjumlah RM4.16 juta dan RM70.1 juta. 

 

“Pelabur asing merupakan pembeli bersih setiap hari kecuali pada Isnin dan Rabu. Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada Khamis, bernilai RM58.9 juta dan terendah pada Selasa, RM27.7 juta. 

 

“Sementara itu, aliran keluar terbesar dicatatkan pada Isnin berjumlah RM74.3 juta,” jelas MIDF dalam satu nota kajiannya hari ini. 

 

Bagi pelabur runcit pula, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari kecuali pada Jumaat lalu, tambah MIDF. 

 

Ujar firma penyelidikan itu, pembelian terbesar oleh kategori berkenaan dicatatkan pada Rabu, RM49.6 juta dan terendah pada Selasa bernilai RM3.8 juta, sementara aliran keluar pula berjumlah RM15.7 juta. 

 

“Secara keseluruhannya, bagi minggu berkenaan, pelabur runcit telah membeli bersih RM67.7 juta nilai ekuiti di Bursa Malaysia. Sementara itu, aliran keluar terkumpul mingguan oleh pelabur institusi tempatan bernilai RM100.2 juta. 

 

“Pembelian bersih terbesar dicatatkan pada Khamis bernilai RM84.8 juta. Manakala, satu-satunya penjualan bersih berlaku pada Jumaat, dengan nilai RM15.7 juta,” jelas MIDF lanjut. 

 

Setakat ini, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih bagi pasaran ekuiti Malaysia berjumlah RM6.3 bilion. 

 

Pelabur institusi dan asing pula merupakan penjual bersih dengan masing-masing bernilai RM3.0 bilion dan RM3.3 bilion untuk tempoh sama.

 

Bagi minggu lalu, Hartalega Holdings Berhad, Public Bank Berhad dan British American Tobacco (Malaysia) Berhad menyaksikan aliran masuk tertinggi, masing-masing bernilai RM5.11 juta, RM3.72 juta dan RM2.67 juta. 

 

Top Glove Corporation Berhad, Genting Berhad dan Malayan Banking Berhad (Maybank) pula menyaksikan aliran keluar tertinggi, masing-masing bernilai RM4.60 juta, RM3.88 juta dan RM3.88 juta. - DagangNews.com