Strategi berkesan bantu Khazanah harungi tempoh mencabar | DagangNews Skip to main content

Strategi berkesan bantu Khazanah harungi tempoh mencabar

Penyusunan semula Malaysia Airlines Group (MAGB) adalah antara pencapaian utama Khazanah pada tahun lalu.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Strategi Khazanah Nasional Berhad dengan pengimbangan semula portfolio dan memanfaatkan peluang pelaburan yang timbul daripada ketidaktentuan pasaran berjaya membantu dana pelaburan negara itu mengharungi krisis wabak COVID-19 sepanjang tahun lalu. 

 

Kedudukan Khazanah yang kekal stabil juga disokong oleh hasil usaha yang dilakukan tahun-tahun sebelumnya di samping pengurusan kedudukan kewangan secara lebih berhati-hati.

 

 

laporan khazanah
Perutusan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam Laporan Khazanah 2020.

 

 

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menyifatkan kejayaan dan kemajuan yang dicapai tahun lalu merupakan hasil pelbagai usaha yang dilakukan secara kolektif oleh Lembaga Pengarah Khazanah yang diterajui Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, pihak pengurusan dan juga warga kerja Khazanah.

 

Beliau berkata, Khazanah akan menumpukan kepada Lima Keutamaan Strategik yang dikenal pasti bagi tahun-tahun mendatang termasuklah meningkatkan pulangan komersial, menghasilkan nilai berimpak melalui pelaburan strategik kami, mengambil kira atau mempertimbangkan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam semua aktiviti pelaburan.

 

Selain itu, katanya, ia juga merangkumi pembinaan asas digital dan teknologi yang kukuh dan terus melabur dalam pembangunan warga Khazanah.

 

"Kami akan meneruskan usaha pelaburan yang mampu memberikan nilai mampan bagi manfaat semua rakyat Malaysia," katanya dalam Laporan Khazanah 2020 yang diterbitkan hari ini. 

 

Seperti mana dilaporkan dalam Ulasan Tahunan Khazanah pada awal tahun ini, dana tersebut mencatatkan keuntungan daripada operasi sebanyak RM2.9 bilion pada 2020 di sebalik persekitaran ekonomi yang mencabar. 
Khazanah juga merekodkan pendapatan dividen yang lebih tinggi sebanyak RM5.2 bilion jika dibandingkan dengan tahun lalu tetapi keuntungan hasil pelupusannya adalah lebih rendah berjumlah RM2.7 bilion.

 

Peruntukan rosot nilai juga lebih tinggi sebanyak RM6 bilion terutamanya disebabkan kesan pandemik terhadap aset penerbangan dan pelancongan.

 

Kedudukan kewangan Khazanah kekal kukuh pada 2020 dengan jumlah hutang dikurangkan sebanyak 6% kepada RM43.1 bilion berbanding tahun sebelumnya, sementara perbelanjaan operasi termasuk sumbangan RM20 juta bagi bantuan menangani penularan pandemik, kekal rendah dan Lindungan Nilai Aset Boleh Tunai (RAV) susut sedikit kepada 2.9 kali ganda.

 

 

laporan khazanah
Sumber : Laporan Khazanah 2020

 

 

Menurut Shahril Ridza, Khazanah terus mencatat kemajuan yang ketara dalam mempelbagaikan aset Dana Komersial pada 2020, selepas melakukan pengimbangan semula portfolio sejak dua tahun lalu. 

 

Secara keseluruhannya, sejumlah RM5.6 bilion telah dilaburkan dalam beberapa buah kelas aset.

 

"Kami menumpukan sepenuhnya kepada usaha meneruskan pengimbangan semula aset Pelaburan Swasta dalam Ekuiti Awam (PIPE), penyaluran dana tambahan dalam Ekuiti Awam di Pasaran Maju dan mengambil manfaat daripada keadaan tidak menentu dalam pasaran baharu muncul, di samping mengekalkan pelaksanaan program pelaburan dalam pasaran swasta," jelasnya. 

 

Beliau berkata, antara pencapaian utama di bawah aset Dana Strategik adalah kemajuan ketara yang dicapai
dalam penyusunan semula Malaysia Airlines Group (MAGB). 

 

Pada Februari tahun ini, MAGB berjaya mendapat perintah mahkamah yang menyokong pelaksanaan penstrukturan
semula melibatkan sebahagian besar pemiutang utamanya. 

 

Langkah berkenaan akan mengurangkan liabiliti MAGB yang kini berjumlah kira-kira RM15 bilion dan memberikan penjimatan kos sebanyak RM1 bilion.

 

Dana Strategik telah terjejas teruk berikutan kejatuhan nilai pasaran aset tersenarai utama, serta peruntukan yang dibuat atas rosot nilai aset berkaitan penerbangan dan perhotelan.

 

"Kami mengharungi tempoh yang sukar ini dengan menumpukan usaha kepada sesi libat urus dengan pihak pengawal selia bagi menangani persekitaran operasi yang mencabar bagi syarikat-syarikat pelaburan dalam portfolio.

 

"Di samping itu, kami turut melakukan penyusunan semula penyata imbang bagi aset terpilih untuk memelihara nilai, memperkukuhkan barisan kepemimpinan syarikat operasi, serta pemantauan dan penilaian berterusan bagi kesan pandemik COVID-19 atas syarikat-syarikat pelaburan," katanya dalam laporan berkenaan. - DagangNews.com