Skip to main content

Subsidiari Kumpulan Perangsang Selangor raih kontrak loji rawatan air RM91.6 juta Air Selangor

KUALA LUMPUR 21 Okt - Anak syarikat Kumpulan Peransang Selangor Bhd (KPS), Aqua-Flo Sdn Bhd telah memperoleh kontrak pembekalan bernilai RM91.6 juta daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk membekal, mengangkut, dan menghantar bahan kimia air ke lokasi loji rawatan air.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KPS berkata kontrak itu akan berlangsung selama 14 bulan dari 1 Nov 2021 hingga 31 Disember 2022.

 

"Kontrak tersebut, yang diperoleh melalui tender terbuka, mempunyai pilihan untuk dilanjutkan berdasarkan kepada permintaan daripada Air Selangor," katanya, lapor Bernama.

 

Syarikat itu berkata, kontrak tersebut diharapkan dapat memberi sumbangan positif kepada aset bersih dan pendapatan KPS bermula dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 hingga 2022.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Fariz Hassan berkata, permintaan yang semakin meningkat untuk bahan kimia oleh pengendali air terbesar di Malaysia itu menunjukkan keyakinan Air Selangor terhadap Aqua-Flo dalam memainkan peranan penting memastikan kelestarian bekalan air bersih dan selamat di Selangor.

 

"Disokong oleh rekod prestasi kami yang konsisten dalam menyediakan produk berkualiti dengan harga yang kompetitif, kontrak baharu ini menjadikan status AquaFlo sebagai salah satu peneraju pasaran dalam pembekalan bahan kimia rawatan air di negara ini," katanya.

 

Aqua-Flo sebelum ini memenangi kontrak dua tahun bernilai RM162.5 juta oleh Air Selangor dari 1 November 2018 hingga 31 Oktober 2020, yang kemudiannya dilanjutkan selama 12 bulan lagi sehingga 31 Oktober 2021 dengan nilai tambahan RM81.2 juta.

 

 

Ahmad Fariz Hassan
                     Ahmad Fariz Hassan

 

 

Melangkah ke hadapan, KPS menjangkakan pertumbuhan organik dalam perolehan nilai kontrak Aqua-Flo kerana ia terus mengukuhkan daya tarikannya dalam penjualan bahan kimia serta meningkatkan pendapatan daripada segmen perniagaan meter air dan peralatan daripada pelanggan sedia ada dan yang baharu.

 

Aqua-Flo adalah perintis tempatan dalam penyediaan dan pembekalan bahan kimia kepada industri rawatan air, sisa dan kumbahan yang membekalkan bahan kimia seperti klorin cair, polyaluminium klorida dan kapur terhidrat dan tawas cair. - DagangNews.com