JOHOR BAHRU 22 Mac - Loji janakuasa turbin gas paling cekap Tenaga Nasional Berhad (TNB) dirasmikan hari ini di Pasir Gudang, Johor sekali gus merupakan loji janakuasa komersial pertama di dunia menggunakan turbin gas 9HA.02 terbaharu dan berteknologi paling cekap dihasilkan oleh General Electric (GE).
Perasmiannya disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang berkenan mengisytiharkan nama stesen berkenaan, Sultan Ibrahim Power Plant sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda tahun ini.
Sultan Ibrahim menghabiskan masa kira-kira sejam di stesen berkenaan yang merupakan satu lagi mercu tanda komitmen syarikat utiliti itu terhadap kegiatan ekonomi rendah karbon.
Teknologi pembakaran bahan api gas aslinya mampu menghasilkan lebih 60% tenaga elektrik, kecekapan yang menyumbang kepada pengurangan jejak karbon, sekali gus menepati slogannya, Tenaga Mesra Alam, Demi Pembangunan Mampan.
Majlis tersebut turut dihadiri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim. Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Yang turut hadir ialah Yang DiPertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato’ Dr. Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah Urusan TNB Genco, Dato’ Nor Azman Mufti.
Pembinaan stesen dengan kos RM4.7 bilion ini adalah gabungan usaha sama antara TNB dan SIPP Energy Sdn. Bhd dengan masing-masing memegang 70 peratus dan 30 peratus kepentingan.
Sultan Ibrahim Power Plant menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada Grid Nasional menerusi dua loji janakuasa turbin gas kitar padu (Combined Cycle Gas Turbine), masing-masing berkapasiti 720 MW mulai awal 2021.
Ia menjadi satu daripada mercu tanda pembangunan industri penjanaan elektrik di Johor dan selatan tanah air dengan mengukuhkan lagi kapasiti penjanaan di Semenanjung Malaysia kepada 26,744.8MW.
Berucap di majlis itu, Takiyuddin berkata, stesen berkenaan adalah bukti komitmen TNB dalam menyumbang ke arah merealisasikan ekonomi rendah karbon, tanpa berkompromi dalam membekalkan tenaga elektrik yang stabil ke kawasan selatan dan seluruh Semenanjung.
Jelasnya, pembangunan stesen berkenaan “adalah selari dengan matlamat dan agenda nasional dalam mencapai Hala Tuju Kelestarian negara iaitu mencapai 45% pengurangan intensiti Gas Rumah Hijau (GHG) pada 2030.”
Penjanaan tenaga dengan kaedah kitar padu Sultan Ibrahim Power Plant ini adalah teknologi alternatif mesra alam (cleantech) yang selaras dengan aspirasi TNB dalam mementingkan pembangunan mampan (sustainability) dan keharmonian alam. Ianya juga selaras ke arah masa hadapan tenaga mampan serta memastikan bekalan tenaga yang berdaya harap dan mesra alam.
Sultan Ibrahim Power Plant telah mendapat pengiktirafan sebagai Plant of the Year 2021 oleh penerbitan industri penjanaan kuasa antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat, POWER Magazine pada Julai 2021.
Ia dikendalikan dan disenggara sepenuhnya oleh anak syarikat TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd (Remaco). TNB Genco adalah anak syarikat milik penuh TNB yang membangunkan, mengendalikan serta menyenggara portfolio penjanaan TNB. - DagangNews.com