Skip to main content
Kolum Industri Kreatif - 8 October 2021

Sumbangan duti hiburan kepada industri perfileman

 

 

 

SEORANG rakan saya, saudara Daniyal Kadir ada menulis di laman sosial beliau tentang kutipan duti hiburan, yang mana menyebut sejumlah sekitar RM260 juta duti hiburan dari jualan tiket pawagam dikutip pada tahun 2019. Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM43 juta daripadanya adalah daripada kutipan duti hiburan bagi tayangan filem tempatan.

 

Beliau cuba untuk melihat potensi sekiranya kutipan duti hiburan dari tayangan filem ini dapat dikembalikan bagi tujuan pembangunan perfileman, tidak kira dalam konteks industri mahupun kegiatan apresiasi dan galakan komuniti.

 

Ini merangkumi pelaksanaan duti hiburan yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri – yang kini dikenakan antara 15% hingga 25% mengikut ketetapan kerajaan negeri masing-masing yang mana hasil kutipan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut, setelah diserahkan kepada kerajaan negeri, mampu digunakan kembali oleh kerajaan negeri kepada sektor ini melalui pelaksanaan kegiatan dan usaha pembangunan perfileman.

 

Idea tersebut sebenarnya bukanlah sesuatu yang janggal memandangkan terdapat banyak lagi pendapatan dari cukai dan pelesenan dalam pelbagai sektor yang dikembalikan kerajaan bagi tujuan pembangunan sektor terbabit. Contohnya, kita melihat bagaimana cukai perhotelan yang diperkenalkan sebelum ini dikembalikan bagi memperkasa sektor MICE.

 

Suatu ketika dahulu, kutipan duti hiburan dari tayangan filem tempatan pernah dikembalikan kepada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), yang mana ia dikembalikan kepada penerbit setiap filem terbabit  sebagai pulangan duti hiburan  dalam usaha membantu dan menggalakkan penerbitan filem tempatan.

 

Namun, dimaklumkan bahawa sejak sekitar 10 tahun kebelakangan, kerajaan negeri sudah tidak lagi mengembalikan kutipan duti hiburan terbabit  dan menjadikan ia sebagai sebahagian hasil negeri terbabit.

 

Meskipun ia tidak dikembalikan kepada penerbit, kerajaan negeri seharusnya dalam melihat pendekatan yang praktikal untuk bagaimana hasil kutipan terbabit dapat digunapakai dalam konteks pembangunan sektor kandungan kreatif di negeri masing-masing.

 

Melihat kepada potensi besar sektor industri kreatif, ia sebenarnya adalah pelaburan yang menguntungkan tidak kira dalam konteks ekonomi mahupun sosial masyarakatnya.

 

Malangnya, ia tidak berlaku  dan ini sekaligus memperlihatkan kurangkan kesedaran pihak kerajaan negeri mengenai potensi besar sektor ini dalam pelbagai konteks.

 

 

kreatif

 

 

Saya secara peribadi sememangnya melihat kelompongan inisatif dan usaha kerajaan negeri di Malaysia dalam konteks pembangunan industri perfileman  dengan meletak terlalu besar kebergantungan kepada agensi dan kementerian di peringkat kerajaan pusat semata-mata.

 

Mungkin secara umumnya sebahagian kerajaan negeri dilihat cuba memainkan peranan dalam sektor ini, namun hanya memfokuskan dalam konteks latihan kemahiran dan pendidikan.

 

Ia tidaklah sesuatu yang salah, namun harus difahami bahawa pembangunan industri dan sektor ini harus melibatkan ekosistem yang holistik dan menyeluruh dan bukan sekadar pembangunan bakat dan modal insan semata-mata.

 

Kerajaan negeri harus juga memainkan peranan dalam hal-hal lain yang berkaitan dalam ekosistem termasuklah menarik pelaburan dalam menyediakan pasaran kerja kepada sumber manusia yang dilatih, melihat kemungkinan lokasi berpotensi untuk menarik pembukaaan pawagam dalam memperluaskan jaringan pemameran dan pusat kegiatan budaya, pembangunan masyarakat penonton yang mempunyai apreasisi filem sebagai usaha pembangunan pasaran, meneroka galakan terhadap perfileman melalui insentif dan galakan percukaian  serta banyak lagi.

 

Jadi, semua ini boleh digerakkan dengan memanfaatkan kutipan duti hiburan terbabit, terutamanya bagi kutipan duti hiburan filem asing yang jumlahnya kini jauh lebih besar berbanding filem tempatan.

 

Langkah ini pastinya mampu menjustifikasikan tentang mengapa kita masih perlu memberikan ruang kepada filem asing untuk bersaing dengan filem tempatan dalam pasaran terbuka berbanding pendekatan memperkenalkan kuota kepada filem asing  yang dilihat tidak lagi praktikal dalam dunia langit terbuka hari ini.

 

 

kreatif

 

 

Kutipan duti hiburan ini juga boleh dikembalikan kepada masyarakat dalam bentuk kegiatan sosial yang berteraskan literasi dan apresiasi filem sebagai satu tanggungjawab sosial yang boleh dimainkan sektor hiburan. 

 

Jika melihat amalan di United Kingdom, peruntukan untuk kegiatan sebegini dibiayai oleh cukai loteri dan perjudian, namun pastinya ia sesuatu yang sukar dilaksanakan dalam konteks negara kita. Jadi, duti hiburan dilihat sebagai sumber yang ideal bagi melaksanakan usaha berkenaan.

 

Malah, kutipan duti hiburan juga boleh digunakan untuk memperkasa usaha penubuhan `film office` di peringkat negeri  ataupun bagi membangun insentif dalam usaha galakan menarik penggambaran filem luar negara ke negeri masing-masing.

 

Perbelanjaan terbabit pastinya akan membawa semula limpahan ekonomi (spillover) yang lebih besar dalam bentuk aliran tunai masuk ke negeri masing-masing.

 

Bayangkan, setiap tahun, jika negeri terbabit mampu menarik cukup hanya sebuah filem gred B dari Eropah – itu sudah cukup untuk membawa aliran tunai puluhan juta ringgit dalam bentuk perbelanjaan tempatan (local expenditure) ke negeri terbabit.

kreatif

Hanya beberapa negeri di Malaysia mempunyai `film office` sendiri, namun ia dilihat tidak cukup kuat. Contohnya, seperti negeri Perak yang mempunyai Perak Film Office (PFO) yang diletakkan dibawah agensi kerajaan negeri iaitu Digital Perak.

 

Namun, peranan yang dimainkan oleh PFO ini dilihat tidak proaktif dan konsisten, malah sudah seringkali dimaklumkan ia ditutup dan dibuka semula  berasaskan situasi politik negeri semasa.

 

Negeri Johor pula sebelum ini mempunyai Film Johor Sdn Bhd, anak syarikat kerjasama Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan kerajaan negeri Johor yang berperanan sebagai penggalak dan pemudahcara menarik penggambaran filem asing ke negeri Johor, namun saya kurang pasti dengan situasi semasa syarikat berkenaan kini.
 

kreatif

 

 

Dengan memanfaatkan kutipan duti hiburan, film office ini pastinya dapat diperkasa katalognya yang seterusnya akan membawa pulangan aliran tunai lebih besar di masa hadapan.

 

Banyak lagi pendekatan yang boleh difikirkan tentang bagaimana kutipan duti hiburan ini dapat memanfatkan kembali sektor industri kreatif, tidak kira dalam konteks ekonomi mahupun sosial.

 

Sebelum itu, apa yang penting adalah bagaimana kita mampu untuk membuka mata pihak kerajaan negeri untuk dapat melihat potensi dan kemampuan industri kreatif sebagai penyumbang penting pembangunan sosial dan ekonomi dalam negeri masing-masing. - DagangNews.com

 

 

 

 Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL KOLUM INDUSTRI KREATIF

 

 

 

 

Portfolio Tags