Skip to main content
Kolum Industri Kreatif - 24 September 2021

SUMBANGAN KOMUNITI FILEM TERHADAP INDUSTRI PERFILEMAN

 

 

TRADISI komuniti filem di Malaysia boleh dianggap sebagai baharu berkembang, meskipun kita telah menyaksikan kewujudan Kelab Seni Filem Malaysia iaitu kelab filem pertama di Malaysia sejak puluhan tahun yang lalu.

 

Hanya beberapa tahun kebelakangan ini, kita mula mendengar kewujudan komuniti filem seperti Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT), Panggung Pantai (Kuala Terengganu), Wayang Di Atas (Ipoh), Rumah Filem (Sarawak), Cinebah (Kota Kinabalu) dan banyak lagi komuniti filem. Saya sendiri bersama rakan-rakan menggerakkan komuniti filem Wayang Budiman di Shah Alam.

 

Sejak sekian lama, kegiatan komuniti filem sering dilihat sebagai aktiviti sekumpulan peminat filem yang berteraskan kecintaan terhadap seni filem semata-mata. Malah, ia juga seringkali dilihat sebagai kegiatan dalam konteks sosial dan rekreasi yang berteraskan perspektif kemasyarakatan.

 

Oleh kerana persepsi tersebut, gerakan komuniti filem ini sering terlepas pandang dan tidak diberikan perhatian dalam kerangka besar pembangunan perfileman dalam konteks industri dan ekonomi oleh agensi dan jabatan bertanggungjawab.

 

Kegiatan sebegini seringkali dilihat sebagai kegiatan tanggungjawab sosial dan tidak memberikan sumbangan kepada industri, terutama dalam konteks kira-kira ringgit dan sen yang menjadi fokus utama sesebuah industri.

 

Namun, ingin saya tegas bahawa pendapat tersebut sangat tidak tepat, malah boleh dianggap sebagai ketidakfahaman berkenaan industri filem sebagai sebuah industri di bawah ekonomi kreatif  yang beteraskan elemen kreativiti dan budaya.

 

Salah satu faktor menyebabkan persepsi ini berlaku mungkin disebabkan Malaysia bukanlah datang dari kalangan negara yang mempunyai tradisi perfileman yang panjang, terutama jika mahu dibandingkan dengan negara-negara Eropah.

 

Malah negara ini juga tidaklah mempunyai kekuatan apresiasi seni & budaya yang utuh, jika mahu dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand mahupun negara maju lain di rantau ini.
 

 

wayang budiman
AKTIVITI penilaian dan perbincangan anjuran kumpulan Wayang Budiman. - Gambar FINAS

 

 

Tidak boleh dinafikan bahawa industri filem adalah sebuah industri yang tidak boleh dilihat sebagai industri berasaskan permintaan dan pembekalan (demand & supply) secara literal semata-mata. Ia adalah sebuah industri yang melibatkan aspek budaya dan apresiasi.

 

Sepertimana yang telah saya jelaskan dalam penulisan saya beberapa minggu lalu, pembangunan industri filem harus dilihat dalam konteks pembangunan budaya yang lebih meluas dan holistik sepertimana yang dilakukan oleh negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina, malah Korea Selatan dan Jepun.

 

Kita melihat negara tersebut tidak membangunkan perfileman secara berasingan tetapi ia merupakan sebahagian dari komponen pembangunan industri budaya secara keseluruhan secara lebih holistik yang mana akan melibatkan aspek literasi dan apresiasi.

 

Jadi bagaimana apresiasi filem tersebut boleh dibina?

Ia tidak akan boleh dibina semata-mata dengan kerajaan menyediakan peruntukan ratusan juta dengan teknologi serba canggih untuk melahirkan filem pemenang anugerah.

 

Ia juga tidak akan dapat dibina dengan menghantar pembikin filem menguasai kemahiran teknikal dengan penggunaan kamera terbaharu.

 

Usaha membina apreasiasi dalam masyarakat termasuk penonton dan juga pembikin sendiri,- melibatkan kerja jangkamasa panjang dan berterusan.

 

Di situlah peranan yang dimainkan oleh komuniti filem.

 

Jika kita serius mahu bercakap tentang pembangunan ekosistem industri filem yang holistik, aspek pembangunan penonton adalah sesuatu yang paling perlu diberikan perhatian.

 

Komuniti filem mampu memainkan peranan melahirkan ahli komuniti yang juga ahli masyarakat yang mempunyai apresiasi dan literasi filem yang baik, sekaligus melahirkan golongan celik filem dalam masyarakat. Golongan inilah yang akan menghargai filem.

 

 

kreatif

 

 

Dari kesedaran filem yang tinggi inilah lahir mereka yang sanggup berbelanja untuk menonton filem – menjadi pasaran kepada setiap filem dihasilkan - berbanding mereka yang kurang kesedaran yang mana akan sentiasa mencari jalan menonton secara percuma di platform-platform haram.

 

Mereka ini jugalah golongan yang akan setia memberikan sokongan kepada filem (dan kandungan kreatif)  sebagai aktiviti hiburan dan terapi mereka, dalam menghadapi peralihan minat sebahagian golongan lain yang akan mula beralih arah kepada bentuk hiburan terbaharu mengikut peredaran zaman yang lebih menarik dan interaktif; seperti sukan elektronik, permainan konsol, virtual reality dan sebagainya.

 

Selain itu, usaha pembangunan perfileman juga harus holistik, bukan sekadar soal melahirkan pembikin dan produk yang baik tetapi juga membangunkan pasaran yang berkembang; dan pasaran itu pastinya merujuk kepada golongan penonton ini. Pembangunan penonton juga adalah pembangunan pasaran.

 

Meramaikan penonton

Melalui komuniti filem, masyarakat yang menghargai filem akan lebih subur – akan meramaikan penonton – sekaligus mengembangkan saiz pasaran terhadap setiap filem yang dihasilkan.

 

Jika selama ini kita terdengar rungutan pembikin yang membuat dakwaan bahawa sukar untuk menghasilkan filem berkualiti di negara ini, kerana filem berkualiti hanya untuk penyertaan festival dan sukar mendapat sambutan penonton, ia sepatutnya memberikan isyarat jelas bahawa industri perfileman kita berada dalam situasi bahaya.

 

Ia menggambarkan bahawa pasaran filem kita adalah pasaran yang tidak sihat dan sebagai pentadbir industri, ia adalah isu yang sepatutnya membimbangkan dan menjadi antara fokus utama untuk ditangani.

 

Saya berikan sebuah analogi, jika kita terlibat dalam industri buah-buahan dan mendapati bahawa buah-buahan segar sukar mendapat tempat dalam pasaran, saya pasti menyalahkan pengguna atau meneruskan bekalan buah-buahan yang `rosak` bukanlah langkah yang perlu diambil; sebaliknya agensi berkaitan pertanian akan berusaha untuk membina kesedaran dan meningkatkan aksesibiliti serta kemampuan dalam kalangan pengguna untuk mula berubah memakan buah-buahan segar bagi pemakanan yang lebih sihat.

 

Begitu jugalah seharusnya untuk industri filem bagi membolehkan lebih banyak filem berkualiti dihasilkan agar jangka hayat filem tersebut lebih panjang, dan bukan sekadar pasaran tempatan tetapi kemudiannya boleh dilanjutkan ke pasaran luar negara.

 

Selain itu, suka saya merujuk kepada senario di Indonesia. Pada dekad 1980-an, industri  perfileman mereka jauh tertinggal di belakang negara kita, namun kini situasi jauh berubah yang mana industri perfileman mereka sudah bersaing di peringkat global.

 

Jika dilihat perkembangan ini, salah satu pendorong utamanya adalah kemunculan sekian banyak komuniti filem di seluruh Indonesia yang mana komuniti-komuniti ini menjadi kolam bakat dan tempat lahir ramai nama besar pembikin filem mereka pada hari ini.

 

Nama-nama seperti Eddie Cahyono, Yosep Anggi Noen, Ismail Macbeth dan ramai lagi adalah lahir dari beberapa komuniti filem seluruh Indonesia – terutamanya di sekitar Jogjakarta.

 

 

Eddie Cahyono
Eddie Cahyono

 

 

Kegiatan komuniti filem begitu subur di seluruh negara Indonesia, hingga wilayah kecil seperti Aceh sudah memiliki lebih 30 komuniti filem di sekitarnya.

 

Dari pemerhatian rambang, saya percaya para penggiat yang lahir dari komuniti filem di Indonesia telah memberikan sumbangan ekonomi yang signifikan kepada industri perfileman Indonesia yang mungkin melebihi dari separuh nilai ekonomi keseluruhan industri filem mereka.

 

Melihat situasi tersebut, saya teringat dengan kenyataan seorang sahabat yang memberikan satu analogi yang pada saya cukup menarik.

 

Katanya, jika Malaysia mahu meniru pendekatan pembangunan perfileman negara-negara yang telah berjaya, beliau yakin kerajaan Malaysia tidak mampu memberikan peruntukan besar sepertimana yang dibelanjakan oleh Korea Selatan – jadi pendekatan seperti Indonesia yang membangunkan industrinya melalui komuniti perfileman adalah pendekatan yang paling praktikal dan ideal untuk diaplikasi di negara ini.

 

Kerana itu kita dapat melihat, dalam pentas diskusi mengenai ekonomi kreatif dan ekonomi budaya di seluruh dunia – aspek komuniti, apresiasi dan literasi merupakan antara komponen penting yang seringkali dibincangkan.

 

Perhatian serius

Oleh yang demikian, jika benar kita bersungguh mahu membangunkan industri filem tempatan, sekali lagi saya tekankan bahawa agensi dan jabatan berkaitan perlu memberikan perhatian serius kepada aspek yang selama ini diabaikan iaitu pembangunan penonton.

 

Komuniti filem juga tidak harus lagi dilihat hanya sebagai kegiatan masa lapang atau aktiviti kemasyarakatan semata-mata. Kita perlu mula mengakui, mengiktiraf sekaligus meraikan peranan komuniti filem sebagai mekanisme penting dalam usaha pembangunan industri filem Malaysia termasuklah dalam konteks ekonomi.

 

Dalam usaha meraikan tersebut, pendekatan untuk menyemarakkan komuniti filem harus dicari  kerana sifat komuniti tidak tidak boleh statik atau selaras mengikut acuan pihak berkuasa.

 

 

wayang budiman

 

 

Ia kegiatan budaya yang berevolusi  ia tidak boleh dipayungi, tetapi perlu disuburkan berasaskan nilai dan pendekatan komuniti setempat yang ditentukan oleh komuniti itu sendiri mengikut acuan masing-masing.

 

Ayuh gunakan pandemik ini sebagai satu fasa untuk menekan butang `reset`  dan dalam menuju fasa pasca pandemik ini, perlu difikirkan satu pendekatan bagaimana komuniti filem ini boleh disuburkan di Malaysia  agar ia dapat tumbuh bukan sekadar di bandar-bandar utama, malah ke serata pelusuk negara sebagai senjata penting dalam pembangunan industri perfileman negara. - DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL KOLUM INDUSTRI KREATIF

 

 

 

Portfolio Tags