Sunview dapat kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Sunview dapat kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - Sunview Group Berhad berjaya mendapatkan kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities.

 

Bersempena dengan penyenaraiannya, pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) Sunview akan terdiri daripada terbitan awam sebanyak 118 juta saham baharu, mewakili 25.21% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan semasa penyenaraian.

 

Kira-kira 23.6 juta daripada 118 juta saham baharu itu atau 5.04% akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia manakala 9 juta saham atau 1.92% akan disediakan untuk permohonan pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Baki 85.4 juta saham atau 18.25% akan disediakan untuk permohonan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping percaya bahawa penyenaraian itu hadir pada masa sesuai dan ia adalah selaras dengan permintaan untuk tenaga boleh diperbaharui yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

 

Beliau berkata, komitmen Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah komited untuk meningkatkan penggunaan sumber boleh diperbaharui untuk penjanaan kuasa kepada 31% daripada jumlah kapasiti di Malaysia menjelang 2025 dan 40% menjelang 2035 di bawah Pelan Peralihan Malaysia. 

 

Katanya, ia merupakan petanda baik dengan rancangan pertumbuhannya pada masa hadapan.

 

"Kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa membolehkan kami memulakan fasa pertumbuhan seterusnya dan kami percaya bahawa penyenaraian IPO akan membantu kami mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam segmen tenaga boleh diperbaharui," katanya.

 

Sunview dijangka disenaraikan pada suku keempat 2022 (4QFY22).

 

Alliance Islamic Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO itu. - DagangNews.com