Sunway beli tanah di Kelantan, bina hospital 200 katil bernilai RM200 juta | DagangNews Skip to main content

Sunway beli tanah di Kelantan, bina hospital 200 katil bernilai RM200 juta

KOTA BHARU

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 29 Julai - Sunway Berhad membeli plot tanah pegangan pajakan di Kelantan pada harga RM28.70 juta bagi tujuan pembinaan hospital baharu yang mampu memuatkan sebanyak 200 katil.

Sunway dalam satu kenyataan memberitahu, langkah tersebut dibuat bagi mengembangkan sektor kesihatan kumpulannya di wilayah Pantai Timur.

"Anggaran kos pembangunan hospital adalah sebanyak RM200 juta.

"Plot tanah tersebut terletak di Kota Bharu yang melibatkan kawasan seluas 3.811 hektar. Kawasan tersebut pesat membangun dengan pelbagai kemudahan seperti hanya satu kilometer dari Aeon Mall, pusat beli-belah Platinum Whole dan Tesco," jelas Sunway.

Menurut Sunway, pihaknya menjangkakan perolehan tanah tersebut akan selesai pada separuh pertama 2021.

SUNWAY

Manakala, plot tanah pegangan pajakan itu juga akan berakhir pada 20 Ogos 2102.

Anak syarikatnya, Sunway Medical Center Kota Bharu Sdn. Bhd. (SMCKB) telah menandatangani perjanjian jual beli bersama syarikat pembangunan hartanah, Liziz Standaco Sdn. Bhd. bagi tujuan perolehan secara pinjaman dan dana dalaman.

Dalam kenyataan yang sama, Sunway memberitahu, kelulusan pengezonan yang diperlukan untuk tujuan pembangunan hospital telah diperoleh melalui Bahagian Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan.

"Pembangunan yang direncana itu sejajar dengan perancangan kerajaan untuk meningkatkan peluang akses rawatan kesihatan ekoran populasi penduduk dan permintaan terhadap penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.

"Oleh itu, Sunway Healthcare Group percaya bahawa permintaan untuk rawatan kesihatan swasta dan cadangan pembangunan ini tetap akan dilaksanakan," jelas kenyataan itu lagi. - DagangNews.com