SUPERB 2020: Fokus produk inovasi, perniagaan kreatif | DagangNews Skip to main content

SUPERB 2020: Fokus produk inovasi, perniagaan kreatif

SUPERB

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Julai - Program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang dijalankan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi siri ke-15 tahun 2020 memberi penekanan kepada produk berinovasi dan model perniagaan yang kreatif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Mohd. Yusof berkata, usaha tersebut adalah selaras dengan keutamaan kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran sekali gus memantapkan aktiviti perniagaan termasuk e-dagang dan ekonomi gig.

"Sebagai individu yang bergelar usahawan dan pernah melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, saya amat memahami akan isu dan cabaran yang dihadapi usahawan lebih-lebih lagi pasca COVID-19.

"Program seperti SUPERB membuka peluang untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda dan secara langsung dapat meningkatkan kedudukan ekonomi Bumiputera," jelasnya dalam ucapan perasmian SUPERB 2020 di Le Meridien Hotel Kuala Lumpur hari ini.

Datuk Seri Mohd. Redzuan Mohd. Yusof
DATUK Seri Mohd. Redzuan Mohd. Yusof

 

SUPERB yang berasaskan pertandingan 'business pitching' itu bertujuan untuk mengenalpasti usahawan pemula Bumiputera dalam menghasilkan produk yang kreatif dan inovatif serta berdaya saing.

SUPERB 2020 dilancarkan berasaskan enam tema Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang mengfokuskan Cadangan 15 Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) iaitu ekonomi digital, revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0), perusahaan sosial, ekonomi perkongsian, bidang seni kreatif, kesihatan, inovasi makanan dan pertanian.

Tambah beliau, kerajaan juga optimis untuk menyemai inovasi digital dalam syarikat pemula niaga yang menjadi sebahagian usaha bagi memastikan para usahawan bersedia serta berdaya saing dalam era IR4.0 termasuk di peringkat global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Md. Silmi Abd Rahman berkata, SUPERB merupakan salah satu flagship program TERAJU dalam memperkasakan usahawan Bumiputera yang mempunyai idea bernas untuk diketengahkan bagi menyokong pertumbuhan keusahawanan negara.

"Tahun ini SUPERB dijangka menerima 1,200 permohonan dari seluruh negara melibatkan individu dan syarikat permulaan (star-up) Bumiputera.

"Sejak dilancarkan pada 2014, SUPERB telah berjaya melahirkan 183 usahawan Bumiputera dengan jumlah peruntukan sebanyak RM144.5 juta dan jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 1,179 dari seluruh negara," jelasnya.

Usahawan yang berjaya ke peringkat akhir SUPERB bagi permohonan di fasa pembentukan dan pembangunan idea atau prototiap akan berpeluang menerima geran pembangunan perniagaan berjumlah hingga RM100,000.

Bagi perniagaan yang sudah berada di fasa pra-komersial pula berpeluang menerima geran pembangunan perniagaan hinga RM500,000.

Permohonan program SUPERB akan dibuka secara dalam talian bermula 1 hingga 31 Ogos 2020. - DagangNews.com