Supermax dijangka agih dividen khas Jun 2021 | DagangNews Skip to main content

Supermax dijangka agih dividen khas Jun 2021

Supermax Corp Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Syarikat pengeluar sarung tangan getah, Supermax Corporation Bhd. (Supermax) dijangka akan membuat pengagihan dividen khas menjelang separuh kedua tahun kewangan 2021 (2HFY21).

 

RHB Research Institute berkata, agihan tersebut mungkin akan dibuat dalam bentuk tunai atau saham bagi tempoh suku ketiga yang berakhir pada 31 Mac 2021.

 

"Kami menjangkakan Supermax akan mengagihkan dividen khas pada separuh kedua tahun kewangan 2021 pada Jun yang berkemungkinan dalam bentuk tunai atau saham," jelas RHB Research Institute.

 

Prestasi tunai bersih Supermax meningkat kepada Rm3.41 bilion atau Rm1.32 sesaham pada akhir Disember 2020.

 

Jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding RM856 juta pada akhir Jun 2020.

 

Supermax juga memegang 151.9 juta saham perbendaharaan yang boleh dimanfaatkan sebagai dividen dalam bentuk saham atau bagi tujuan penyenaraian di Bursa Singapura (SGX).

 

Mengulas lanjut, RHB Research menjangkakan margin kumpulan tersebut meningkat bagi tempoh suku berikutnya susulan peningkatan purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi.

 

Jangkaan itu turut disokong oleh jumlah sumbangan kapasiti daripada kilang pengeluaran 12B.

 

Kilang tersebut berjaya meningkatkan kapasiti daripada 24 bilion keping sarung tangan getah kepada 26.2 bilion dalam tempoh setahun (ppa).

 

RHB Research bagaimanapun mengekalkan ramalan pendapatan Supermax bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023.

 

RHB Research turut mengekalkan saranan 'beli' saham Supermax dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM10.60. - DagangNews.com