Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Dis - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan kertas perundingan awam bagi mendapatkan maklum balas awam ke atas Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) berasaskan prinsip bagi Pasaran Modal Malaysia (Taksonomi SRI).
SC dalam satu kenyataan berkata, Taksonomi SRI tersebut telah dibangunkan bagi membolehkan peserta pasaran modal Malaysia mengenal pasti aktiviti-aktiviti ekonomi yang sejajar dengan pencapaian matlamat persekitaran, sosial dan kemampanan.
Katanya, perkara itu dilihat akan memudahkan mereka untuk membuat keputusan dan pengumpulan dana dan pelaburan yang lebih cekap serta bermaklumat.
"Taksonomi SRI tersebut menyediakan prinsip panduan dalam pembiayaan peralihan yang boleh dipercayai bagi membolehkan lebih banyak syarikat memanfaatkan instrumen berasaskan pasaran dalam memenuhi keperluan kewangan peralihan mereka.
"Ia juga bertujuan mempercepatkan pembangunan kelas aset SRI dan menggalakkan lebih kesedaran serta penggunaan amalan kemampanan dalam syarikat korporat di Malaysia.
"Ia turut menyediakan panduan kepada peserta pasaran modal untuk menjalankan aktiviti ekonomi yang mampan berdasarkan prinsip yang disediakan," katanya.
Taksonomi SRI dibangunkan oleh Kumpulan Kerja Industri (IWG) yang terdiri daripada Hab Kewangan Pertumbuhan Inklusif dan Mampan Kumpulan Bank Dunia di Malaysia selaku Ketua Pakar Teknikal dan wakil dari Bursa Malaysia, syarikat pengurusan aset dan dana, bank pelaburan, pemilik aset dan pakar kewangan mampan.
Kertas perundingan tersebut boleh didapati di https://www.sc.com.my/regulation/consultation-papers.
Pihak yang berminat dan orang ramai adalah dipelawa untuk mengemukakan komen dan maklum balas kepada SC sebelum 31 Mac 2022 di https://survey.alchemer.com/s3/6667433/SRI-Taxonomy-Public-Consultation. - DagangNews.com