Suspek kes pukul pengawal peribadi puasa tiada kaitan dengan MAG | DagangNews Skip to main content

Suspek kes pukul pengawal peribadi puasa tiada kaitan dengan MAG

Chung Chee Yang

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 April - Syarikat pengeluar makanan berasaskan akuakultur, MAG Holdings Bhd. (MAG) menafikan syarikat itu mempunyai perkaitan dengan kes reman empat suspek yang didakwa memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa.

 

Khabar angin yang tular di media sosial itu mendakwa salah seorang suspek, Chung Chee Yang merupakan pemegang saham syarikat MAG.

 

MAG dalam satu kenyataan berkata, Chung hanya menjadi pemegang saham syarikatnya dalam tempoh yang singkat pada 2019 dan tidak lagi menjadi pemegang saham sejak tempoh berkenaan.

 

"Chung juga bukan sebahagian daripada pihak pengurusan syarikat dan tidak berada dalam senarai lembaga pengarah," kata MAG.

 

Menurut MAG, pihaknya memberi kebenaran dan kelonggaran kepada semua pekerja Muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan.

 

"Kumpulan juga ingin mengucapkan 'Ramadan yang diberkati' kepada semua umat Islam di Malaysia pada bulan suci ini," jelas MAG lagi.

 

Baru-baru ini tular kes dua pengawal peribadi Melayu dipukul secara bergilir-gilir di bahagian belakang badan menggunakan rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.

 

.

 

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa. 

 

Malah, majikannya juga telah mengambil sepucuk pistol yang berada di pinggang salah seorang daripada mangsa dan mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.

 

Sehubungan itu, empat lelaki direman lima hingga tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Klang semalam.

 

Kesemua suspek yang direman itu merupakan tiga pekerja kepada majikan terbabit dan pengawal peribadi yang berusia sekitar 38 hingga 46 tahun. - DagangNews.com