Syarikat di Malaysia perlu pembaharuan korporat | DagangNews Skip to main content

Syarikat di Malaysia perlu pembaharuan korporat

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Pembaharuan korporat amat penting dalam mendorong prospek pertumbuhan bagi tempoh jangka panjang di sebalik kemelesetan ekonomi yang memberi kesan kepada pengeluaran. 

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, atas sebab itu, program transformasi bagi syarikat awam disenaraikan (PLC) memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan perniagaan di Malaysia. 

Katanya, program itu yang meliputi petunjuk prestasi, pembangunan bakat dan amalan berdaya saing bukan sahaja membantu pemulihan ekonomi negara tetapi memberi hasil yang positif sekali gus mendorong keyakinan pasaran. 

"Prestasi PLC menunjukkan kemajuan antara 2004 dan 2015 tetapi keuntungannya mulai menurun serta mengalami beberapa nisbah pertumbuhan selepas itu. 

"Sehubungan itu, perniagaan di negara ini memerlukan pemangkin supaya mereka dapat bangkit dan keluar daripada krisis COVID-19 dan lebih bersedia pada masa hadapan terutama untuk bersaing di peringkat global," katanya dalam ucap tama Sidang Kemuncak Ekonomi 2020 hari ini. 

Abdul Wahid Omar
Abdul Wahid Omar
 

Menurut Abdul Wahid, terdapat keperluan untuk melihat semula dan menilai kejayaan masa lalu yang dicapai menerusi Program Transformasi GLC yang mula diperkenalkan pada 2004 itu. 

"Tambahan pula, hasil korporat mungkin semakin lemah disebabkan kesan pandemik COVID-19," katanya. 

Beliau berkata, sejauh mana ekonomi Malaysia akan pulih semula akan bergantung kepada beberapa faktor terutama keadaan ekonomi global yang masih lemah apabila Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan global menguncup 5.2%.

Di samping itu, jelasnya, kadar jangkitan di seluruh dunia juga dijangka terus meningkat dan gelombang COVID-19 seterusnya akan memaksa kepada pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan. 

"Pasaran buruh di Malaysia juga masih lemah yang boleh memberi impak kepada penggunaan swasta. Sekiranya berlaku sekali lagi ketegangan perdagangan antara negara ekonomi utama, ini akan terus menjejaskan ekonomi dan memberi cabaran kepada ekonomi global," ujarnya.  

Bagaimanapun, beliau yakin, asas ekonomi negara yang kukuh mampu membina daya tahan untuk berhadapan dengan sebarang kejutan terutama pandemik COVID-19. - DagangNews.com