Syarikat tidak terlibat dalam DNB masih boleh tawarkan akses 5G - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Syarikat tidak terlibat dalam DNB masih boleh tawarkan akses 5G - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Syarikat telekomunikasi yang tidak mahu mengambil pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) masih boleh menawarkan akses 5G melalui perjanjian akses 5G.

 

MIDF Research berkata, UMobile dan Maxis merupakan dua syarikat yang menolak untuk mengambil pegangan dalam DNB tetapi masih komited untuk menawarkan perkhidmatan 5G selain berunding dengan syarikat itu untuk mendapatkan Perjanjian Akses 5G.

 

"Berdasarkan terma Tawaran Akses Rujukan (RAO), DNB perlu menawarkan perkhidmatan yang sama pada terma dan harga yang sama, menggunakan sistem dan proses yang sama pada skala masa yang sama (asas tanpa diskriminasi) kepada semua syarikat telekomunikasi melalui perjanjian akses 5G," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Perkembangan terkini menyaksikan hanya empat syarikat telekomunikasi daripada enam kekal berminat untuk mengambil pegangan ekuiti dalam DNB.

 

Sementara itu, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications telah mendapat kelulusan daripada lembaga pengarahnya dan bersedia untuk menandatangani perjanjian untuk mengambil saham dalam Rangkaian Borong Tunggal (SWN).

 

Firma itu berkata, pada peringkat awal, 70% kepentingan akan dikongis antara 6 syarikat telekomunikasi tetapi Perjanjian Langganan Saham (SSA) perlu disemak semula selepas UMobile dan Maxis enggan meneruskan perjanjian itu.

 

"Tiga senario pengagihan semula saham mungkin berlaku antaranya empat syarikat telekomunikasi terlibat akan diberikan saham lebih besar iaitu 17.5%, syarikat telekomunikasi swasta akan mengambil baki saham atau peningkatan kepentingan kerajaan tetapi tidak pada tahap pegangan saham majoriti dalam DNB.

 

"Perjanjian itu dijangka siap sepenuhnya pada hujung September 2022," katanya.

 

Firma itu berkata, pelaksanaan model SWN akan meningkatkan tekanan ke atas syarikat telekomunikasi untuk menyesuaikan dinamik peralihan dalam perniagaan yang sememangnya kompetitif.

 

Katanya, syarikat terlibat mungkin dikehendaki membayar yuran borong pendahuluan kepada DNB yang bergantung kepada pegangan ekuiti yang disemak semula yang akan diumumkan tidak lama lagi.

 

"Kami percaya bahawa model SWN adalah lebih cekap untuk mempercepatkan pelancaran dan penggunaan rangkaian 5G untuk negara, kerana penerusan SWN boleh mengelakkan risiko seperti kos pampasan, kelewatan yang berpanjangan dalam pelancaran rangkaian 5G, kesan negatif terhadap Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia, dan meluaskan jurang digital bandar-luar bandar kepada sektor, kerajaan dan negara," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi dengan TM menjadi pilihan utama (beli, harga sasaran (TP): RM6.91) selepas menjadi pemain talian tetap utama negara dan mempunyai banyak peluang perniagaan di bawah Inisiatif MyDigital. - DagangNews.com