Tabung Haji catat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM1.03 bilion pada separuh pertama, jangka kos haji terus meningkat | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji catat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM1.03 bilion pada separuh pertama, jangka kos haji terus meningkat

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Sept – Lembaga Tabung Haji mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM1.47 bilion pada separuh pertama 2022 dengan jumlah deposit berjumlah RM88.09 bilion, iaitu paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya.

 

Sepanjang tempoh enam bulan pertama itu juga lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu
telah dibuka, seterusnya menyaksikan peningkatan jumlah keseluruhan pendeposit kepada 8.6 juta orang.

 

Bagaimanapun, setelah mengambil kira perbelanjaan termasuk peruntukan zakat, Tabung Haji mencatat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM1.03 bilion dalam tempoh enam bulan pertama sehingga 30 Jun 2022, berbanding RM1.22 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Penurunan itu mengambil kira perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji yang diberikan kepada jemaah haji bagi musim 1443H/2022M. 

 

 

Amrin Awaluddin
Amrin Awaluddin

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pencapaian itu mencerminkan daya tahan Tabung Haji walaupun berhadapan dengan kesan-kesan selepas pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, antaranya ancaman inflasi, ketidaktentuan pasaran dan kelemahan ekonomi dunia.

 

Katanya, pendekatan pelaburan yang mengutamakan keselamatan pulangan ini mencerminkan komitmen dana itu untuk melindungi kepentingan para pendeposit dengan memelihara dan meningkatkan simpanan mereka bagi memenuhi kewajipan Rukun Islam Kelima.

 

"Kami sentiasa menghargai sokongan para pemegang taruh, terutamanya pendeposit. Melangkah ke hadapan, Tabung Haji akan meneruskan usaha meningkatkan pendapatan melalui pelaburan dan menguruskan kos operasi dengan lebih cekap untuk memastikan agihan keuntungan yang mampan dan
stabil untuk para pendeposit. 

 

"Tabung Haji juga akan terus fokus terhadap tahap tadbir urus, pematuhan dan integriti yang tinggi demi kebaikan Tabung Haji dan pendepositnya," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sebahagian besar pendapatan itu diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM966.34 juta dalam tempoh separuh tahun pertama yang merangkumi 65.71% daripada jumlah pendapatan kasarnya.

 

Pelaburan saham turut menyumbang sebanyak RM224.62 juta yang mencatatkan peningkatan RM41.27 juta berbanding RM183.35 juta pada tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Sementara itu, pelaburan ekuiti menyumbang 15.27% daripada jumlah keseluruhan pendapatan, manakala pelaburan harta tanah memperoleh pendapatan sebanyak RM213.66 juta, diikuti pendapatan-pendapatan lain sebanyak RM66.07 juta.

 

 

Tabung Haji

 

 

Perbelanjaan Tabung Haji meningkat sebanyak RM134.42 juta pada separuh pertama 2022 kepada RM437.3 juta pada Jun 2022 kerana Bantuan Kewangan Haji kepada jemaah haji 1443H/2022M yang terus ditanggung oleh Tabung Haji. 

 

Kos Haji bagi musim 1443H/2022M adalah RM28,632 bagi setiap jemaah berbanding anggaran awal sebanyak RM25,540 bagi setiap jemaah, manakala Kos Haji bagi musim 1440H/2019M adalah sebanyak RM22,900 seorang. Tabung Haji tidak menghantar jemaah dari Malaysia pada 2020 dan 2021.

 

Jumlah perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji dijangka terus meningkat kepada RM185.7 juta apabila
musim haji 1443H/2022M tamat dalam suku ketiga nanti. 

 

Jika perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji tidak diambilkira, perbelanjaan operasi hanya meningkat 3.65% berbanding perbelanjaan bagi tempoh sama tahun lalu, hasil langkah pengurusan berhemah walaupun di dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan ancaman inflasi. 

 

Dalam hal ini, Tabung Haji sentiasa mengambil langkah berhemah dalam mengoptimumkan perbelanjaan bagi memastikan pengurusan perbelanjaan yang cekap.

 

 

Tabung Haji

 

 

Menurut Amrin Awaluddin, ketahanan pencapaian kewangan Tabung Haji mencerminkan pendekatan pelaburan yang mampan dengan pengurusan kecairan yang mantap, berpandukan kepada Alokasi Aset Strategik (SAA) yang bertujuan meminimumkan kesan turun naik jangka masa panjang di pasaran.

 

Katanya, pelaburan aset berdasarkan SAA ini adalah berpadanan dengan objektif mengurus simpanan para pendeposit untuk jangka masa panjang bagi tujuan menunaikan ibadat haji. 

 

"Lebih daripada separuh atau 58% aset Tabung Haji telah diperuntukkan bagi pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap seperti sukuk yang memberikan pulangan stabil dan selamat dalam jangka masa panjang.

 

"Pulangan pelaburan ekuiti TH yang meningkat 23% juga mengatasi penanda aras Indeks Syariah Hijrah Bursa Malaysia yang turun -14.3% dalam tempoh separuh pertama. 

 

"Tabung Haji memberi fokus kepada pelaburan saham dengan asas yang baik dan berkualiti dari aspek ketahanan dan rekod prestasi dividen yang baik," jelasnya.

 

Mengenai hala tuju Hijrah24, beliau berkata, antara sasaran utama untuk dicapai pada penghujung 2024 ialah peningkatan saiz dana berjumlah RM100 bilion berbanding ketika ini sebanyak RM88.09 bilion. 

 

"Sementara itu, pengguna baru platform digital THiJARI juga telah bertambah sebanyak 639,000 di mana sasaran yang ditetapkan adalah satu juta pengguna baharu menjelang akhir 2022," katanya. - DagangNews.com