Takaful Malaysia sediakan perlindungan kemalangan diri kepada pelanggan LPPSA di bawah Program i-Prihatin | DagangNews Skip to main content

Takaful Malaysia sediakan perlindungan kemalangan diri kepada pelanggan LPPSA di bawah Program i-Prihatin

KUALA LUMPUR 22 Julai – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, melalui anak syarikatnya, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (STMAB) bekerjasama dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk memperkenalkan pelan kemalangan diri yang berpatutan secara ekslusif untuk pelanggan LPPSA.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Dato' Sri Mohamed Hassan Kamil berkata, pengenalan Takaful myProtect PA kepada pelanggan LPPSA merupakan satu lagi mercu tanda terhadap hubungan kerjasama yang telah lama terjalin.

 

“Pada masa ini, kami adalah salah satu panel insurans untuk LPPSA yang menawarkan  Mortgage Reducing Term Takaful (“MRTT”) untuk pembiayaan rumah kepada kakitangan di sektor awam.

 

“Tawaran Takaful myProtect PA melalui Program i-Prihatin LPPSA ini adalah bukti komitmen berterusan kami dalam menyediakan penyelesaian insurans untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan LPPSA dan tambah nilai pada produk dan perkhidmatan yang kami tawarkan, " katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Takaful myProtect PA menyediakan perlindungan kemalangan diri secara menyeluruh sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan, keilatan menyeluruh atau separuh dan kekal sehingga RM100,000.

 

Pelanggan LPPSA layak untuk memohon pelan perlindungan tambahan dengan sumbangan yang berpatutan pada hanya RM100 setahun serta menerima pelbagai manfaat dan perlindungan, termasuk perlindungan tambahan untuk kematian akibat kemalangan atau keilatan menyeluruh dan kekal akibat kemalangan semasa melancong ke luar negara atau di dalam pengangkutan awam.

 

Takaful myProtect PA juga memberikan manfaat dan perlindungan lain seperti Badal Haji, perbelanjaan perubatan dan bayaran ambulans, perbelanjaan pengebumian, elaun kecederaan akibat diragut, kehilangan akibat rompakan ATM, elaun penyembuhan denggi, dan pendapatan harian hospital akibat kemalangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Mohd Farid Dato’ Nawawi menjelaskan, “Kerjasama bersama panel insurans melalui program i-Prihatin berfungsi sebagai sebahagian tanggungjawab kami dalam menyediakan produk yang dapat memenuhi keperluan pelanggan dalam situasi yang sukar.

 

“Kerjasama seperti ini juga membantu untuk mengenal pasti dan menjangka keperluan perlindungan pelanggan kami. Produk ini ditawarkan secara pilihan untuk pemegang akaun sedia ada LPPSA yang aktif, dan memberikan perlindungan serta manfaat tambahan selain daripada perlindungan yang diberikan dari MRTA/MRTT sedia ada yang termasuk dalam pembiayaan.

 

‘Kami percaya bahawa peningkatan tambahan dalam perlindungan kemalangan peribadi ini akan menenangkan fikiran dan memberi jaminan kewangan kepada para pelanggan LPPSA apabila diperlukan," ujarnya.

 

Sementara itu, Hassan berkata, pendaftaran perlindungan kemalangan diri untuk pelanggan LPPSA juga dipermudahkan dan dapat diselesaikan dalam beberapa minit sahaja melalui portal LPPSA.

 

"Pelanggan akan menerima e-Sijil setelah transaksi berjaya dan dapat mengakses maklumat sijil, kemas kini butiran peribadi serta maklumat berkaitan yang tersedia melalui portal pelanggan kami.

 

"Untuk pelan perlindungan dalam talian komprehensif lain, pelanggan LPPSA  boleh mengunjungi Portal Jualan Dalam Talian Click for Cover kami dan mengetahui pelan yang tepat untuk memenuhi keperluan mereka, seperti insurans motor, perlindungan perubatan dan banyak lagi,” kata Hassan. – DagangNews.com