Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Dari Hikayat Kita - 23 April 2022

TALIAN HAYAT BUAT SENI DAN BUDAYA

Digitalisasi dan aktiviti ekonomi

 

 

 

ADAKAH SENI DAN BUDAYA serta hikayat dan cerita rakyat yang menghadapi kemampanan kritikal dan memerlukan pemuliharaan dan penulisan baru untuk menghindari pelupusan menyeluruh? 

 

Bagaimana kita boleh memastikan  budaya hikayat dan cerita rakyat diberi nafas baru dan bangkit  sebagai budaya yang relevan kepada negara? 

 

Seperti yang dijangka oleh Seniman Negara Tan Sri P Ramlee sendiri, anak muda kita akan  lebih cenderung dan menyanjung budaya dari Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan kini  Korea, mengisi kekosongan budaya di negara sendiri. 

 

Generasi muda kita tidak nampak apa yang dikatakan oleh tokoh budayawan sebagai inventori warisan budaya Melayu yang kaya. Tidak kenal ‘Langkasuka’ atau ‘Kembayat’. 

 

Mereka lebih selesa di dunia Genshin Impact, berpesta Cosway dan menjadi ‘army’ BTS.

 

Tiada salahnya di situ jika mereka masih ingat bahawa mereka adalah anak jati Malaysia yang berdaulat, bukan srikandi atau putera dari ‘Liyue’ atau ‘Mostad’. 

 

Kesan Psikologi Hikayat dan Cerita Rakyat

 Apakah hubung kait nilai peribadi masyarakat dahulu dan sekarang berbanding hikayat dan cerita rakyat yang diceritakan? Adakah ia mempunyai pertalian? 

 

Ini patut dikaji supaya kita mencari kesamaan dan perbezaan antara nilai-nilai masyarakat yang mungkin berubah mengikut zaman dan nilai terpenting dalam hikayat dan cerita rakyat.

 

Mungkin hikayat dan cerita rakyat dapat membantu menjawab soalan identiti dan nilai masyarakat – persoalan inti pati, jati diri dan identiti secara peribadi atau sesebuah masyarakat. Ahli antropologi, ahli sosiologi dan penyelidik kebudayaan seolah-olah bersetuju bahawa pendekatan kisah sejarah, hikayat, cerita rakyat, dan budaya adalah sinonim dengan identiti bangsa.

 

siti zubaidah
Syair Siti Zubaidah

 

 

Contohnya dari hikayat Si Tanggang dan Batu Belah Batu Bertangkup, kita memahami kepentingan menghormati ibu-bapa, dan begitu juga kisah Huminodun yang mengajar erti pengorbanan seorang ayah. 

 

Kisah Cik Siti Wan Kembang dan Ratu Hijau menunjukkan semangat kental pemerintahan Ratu yang hebat, dan tidak ketinggalan Syair Siti Zubaidah, Syair Ken Tambuhan dan Syair Dawarmulan tentang cinta dan politik kerajaan lama. 

 

Yang pastinya, hikayat, legenda dan cerita rakyat kita sangat kaya bahasanya, penceritaan dan tunjuk ajar buat bangsa terkemudian. 

 

Beberapa penyelesaian untuk diterokai

Digitalilasi merupakan salah satu cara terbaik melestarikan hikayat lama. Filem, animasi, esports dan NFT serta app media sosial boleh digunakan untuk menangkap minat anak anak.  

 

Pemeliharaan dan pemuliharaan budaya cerita rakyat Melayu akan dapat membangkitkan kewujudan kandungan untuk media baru termasuk filem dan kesusasteraan baru, pameran dan merangsangkan kepentingan dalam pelbagai industri. 

 

Beberapa cadangan lain yang dapat membantu  adalah:

 

  1. Pihak Kementerian membiayai penulis, tukang cerita, tukang keris, tukang wau, pak dalang dan kumpulan makyung di tempat asal mereka supaya mereka boleh berkarya dan bekerja tanpa merisaukan hal untung nasib keluarga mereka setiap waktu. Galakan itu mesti diberi sebagai langkah permulaan. 

 

  1. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan boleh bekerjasama untuk menjadikan budaya cerita rakyat berkembang di sekolah-sekolah melalui penulisan, pementasan dan pertandingan untuk memupuk minat generasi muda. 

 

  1. Galakan diberi dalam bentuk geran untuk merancakkan Media baru dan industri boleh mengilhamkan sumbangan kreatif genre budaya cerita rakyat dan idea untuk filem, muzik dan kandungan e-sport berdasarkan cerita rakyat dan budaya serta kearifan lokal.

 

  1. Motivasi berbentuk pertandingan, penghargaan, anugerah tahunan

 

  1. Para sarjana dan perantis budaya cerita rakyat dapat menyelami dan memberi fokus kepada seni mereka dan menurunkan ilmu ke generasi hadapan. 
     

 

buku

 

Kepentingan Budaya

Warisan budaya hikayat dan cerita rakyat mengalami persaingan hebat dengan teknologi media baru yang menjurus kepada pengaruh barat, dan juga pengaruh globalisasi.

 

Pada masa yang sama, pengenalan kepada hikayat dan cerita rakyat di sekolah-sekolah telah berkurangan walaupun kementerian kini memberi penekanan terhadap budaya. 

 

Penjajah melihat hikayat dan cerita rakyat diperlekehkan dan dianggap sebagai mitos semata-mata yang tidak mempunyai nilai sejarah, ditolak mentah-mentah sebagai tidak bernilai. Ini telah banyak melemahkan kesusasteraan Melayu.

 

Di Kelantan sendiri, warisan budaya seperti makyung, wayang kulit dan main teri menerima tindak balas negatif apabila makyung telah diharamkan di negeri asalnya pada tahun 1991.

 

Di dunia Melayu dan Asia, warisan budaya cerita rakyat menghadapi pelupusan kerana kalah dari segi penguasaan ekonomi dan globalisasi.

 

Budaya Rakyat dan kesenian menerima kurang perhatian oleh kerana penumpuan terhadap bidang pembangunan dan industri yang dianggap lebih mampu memberikan pulangan lumayan.

 

Di barat, melalui hikayat lama dan cerita dongeng, industri perfileman meraih keuntungan berjuta dolar.

 

Hasilnya,  kanak-kanak di seluruh dunia lebih cenderung kepada cerita ‘fairytales’ dan kini, filem diilhamkan komik bersiri Amerika Syarikat Marvel dan DC Comics daripada hikayat dan cerita rakyat, misalnya Sang Kancil, Che Siti Wan Kembang, cerita Puteri Saadong dan cerita Pak Kadok, Si Luncai dan Pak Pandir.

 

 

Georges Voisset

 

 

Cerita cerita Sang Kancil yang diketengahkan oleh Georges Voisset di dalam bahasa Perancis mendapat sambutan yang menggalakkan. Penulisan baru adalah satu cara untuk memberi nafas baru kepada legenda dan cerita rakyat lama.

 

Netflix juga merupakan platform yang begitu popular dan menjadi pilihan drama genre fiksi sejarah dan hikayat. Kita patut contohi produksi dari Turki, Dirilis Ertugrul yang mengambil inspirasi dari legenda bapa Khalifah Usman yang membentuk kerajaan Uthmaniyah.

 

Korea Selatan dan China juga menerbitkan drama berlandaskan legenda dan cerita rakyat (folklore) seperti Kingdom dari Korea dan The Rise of The Phoenixes (China). Kita tunggu Al-Chemiya dari UK yang mencari kandungan baharu dan bakal menyaingi Netflix. 

 

Dunia penstriman ini  adalah satu fenomena yang memerlukan langkah-langkah proaktif dan campur tangan jika kita ingin memartabatkan hikayat  dan cerita rakyat bagi membawa khazanah kita ke dunia antarabangsa dan secara tidak langsung menjadi kebanggaan kita semua.

 

Namun pelupusan warisan budaya cerita rakyat mesti ditangani. Jika tiada apa yang dilakukan, semua bentuk warisan ini akan hilang selama-lamanya.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA 

Portfolio Tags