Skip to main content

TDM optimis propsek masa hadapan didorong kemajuan segmen perladangan, penjagaan kesihatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jun - TDM Berhad optimis terhadap prospek masa hadapan kumpulan itu didorong oleh perkembangan dua segmen utama iaitu perladangan dan penjagaan kesihatan.

 

Pengerusi kumpulan, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, memasuki tahun kedua pelan perniagaan strategik lima tahun syarikat, TDM sedang memanfaatkan arah aliran makro yang menggalakkan dalam kedua-dua industri perladangan dan penjagaan kesihatan.

 

Katanya, kumpulan itu telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam rancangan perkembangan strategiknya dan usaha untuk membuka nilai aset sedia ada.

 

"Berdasarkan kepada keputusan FY21 sebelum ini, kami yakin dapat meneruskan momentum positif daripada operasi positif pada FY22.

 

"Dipacu oleh kemajuan perladangan dan penjagaan kesihatan, kami yakin dapat memberikan nilai yang lebih baik kepada pemegang saham pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Mengulas mengenai segmen perladangan, Raja Idris berkata, syarikat itu sedang bekerja rapat bersama pihak berkepentingan bagi memuktamadkan cadangan pelupusan dua anak syarikatnya di Indonesia yang telah mengalami kerugian sejak tahun pertama pengeluaran pengambilalihannya.

 

tdm
Raja Datuk Idris Raja Kamarudin

 

Cadangan pelupusan itu akan meningkatkan pegangan tunai TDM kepada RM115 juta mengurangkan kadar pinjaman dan memperbaiki keperluan modal.

 

"Daripada mengekalkan operasi yang merugikan, kami akan dapat memperuntukkan sumber untuk mengukuhkan perniagaan di Malaysia yang akan memberikan keuntungan," katanya.

 

TDM juga mendapat manfaat daripada kenaikan mendadak dari segi harga jualan purata minyak sawit mentah (MSM) yang meningkat daripada RM2,822 setiap tan metrik pada 2020 kepada RM4,447 setiap tan metrik pada 2021 sebelum melonjak ke paras RM5,904 tahun ini.

 

Mengulas mengenai segmen penjagaan kesihatan TDM,  Raja Idris berkata, pandemik global dan populasi yang semakin berusia di Malaysia meningkatkan keperluan untuk perkhidmatan itu di negara ini.

 

"Baru-baru ini kami melengkapkan pengambilalihan Hospital Pakar Tawau yang kini dikenali sebagai Pusat Perubatan KMI Tawau berdasarkan pelan pasca pengambilalihan syarikat," katanya.

 

Pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-57, TDM meluluskan pembayaran dividen sebanyak RM6 bilion atau 64 sen bagi setiap saham biasa untuk FY21. - DagangNews.com