Teknologi keselamatan siber digunakan syarikat Malaysia kebanyakannya sudah lapuk - Laporan Cisco | DagangNews Skip to main content

Teknologi keselamatan siber digunakan syarikat Malaysia kebanyakannya sudah lapuk - Laporan Cisco

KUALA LUMPUR 27 Jan - Laporan Cisco mendapati kira-kira 60% daripada teknologi keselamatan siber yang digunakan syarikat di negara ini dianggap sudah ketinggalan zaman oleh profesional keselamatan dan swasta yang bekerja di organisasi berkenaan. 

 

Menerusi laporan bertajuk 'Security Outcomes Study Volume 2', menunjukkan betapa pentingnya bagi syarikat di Malaysia untuk memberi nafas baharu kepada teknologi dan penyelesaian infrastruktur keselamatan siber. 

 

Responden dari Malaysia juga menganggap infrastruktur keselamatan siber mereka tidak boleh dipercayai dan kompleks, dengan 60% dan 57% masing-masing menonjolkan perkara berkenaan dalam tinjauan ini.

 

Kaji selidik global itu membabitkan lebih 5,100 profesional keselamatan dan swasta merentasi 27 pasaran termasuk lebih 2,000 profesional daripada 13 pasaran di Asia Pasifik. 

 

 

Hana Raja
Hana Raja

 

 

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja berkata, perniagaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia, telah melihat perubahan besar dalam model operasi mereka, didorong sebahagian besarnya oleh wabak COVID-19.

 

"Pada ketika mereka bergelut dengan perubahan seperti agihan tenaga kerja dan interaksi mengutamakan digital, perniagaan memerlukan seni bina keselamatan bersepadu untuk menghubungkan pengguna dengan lancar kepada aplikasi dan data yang mereka perlukan untuk akses, dalam sebarang persekitaran dan dari mana-mana lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Berdasarkan laporan itu juga didapati syarikat-syarikat di Malaysia menangani perkara ini dengan melabur dalam teknologi keselamatan siber moden dan meningkatkan kedudukan keselamatan.

 

Lebih 8 daripada 10 responden (81%) menyatakan syarikat mereka melabur dalam strategi 'Zero Trust' dengan 53% berkata organisasi menyaksikan perkembangan yang stabil manakala 27% berada di peringkat matang untuk melaksanakannya.

 

Di samping itu, 84% responden mengatakan syarikat mereka melabur dalam Secure Access Service Edge (SASE) dengan 53% menyaksikan kemajuan yang baik dan 31% pula pelaksanaannya di peringkat matang. - DagangNews.com