Tiada pengurangan OPR unjur keuntungan bersih bank Malaysia hingga 2% | DagangNews Skip to main content

Tiada pengurangan OPR unjur keuntungan bersih bank Malaysia hingga 2%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) semalam memberi ‘kejutan’ positif buat institusi perbankan di Malaysia.

Bercanggah dengan ramalan CGS-CIMB Research yang menjangkakan pengurangan 25 mata asas (bps) semalam, meletakkan keuntungan bersih pada tahun kewangan 2021 (FY21)  bank-bank diunjurkan 1% hingga 2%.

Bagaimanapun, CGS-CIMB tidak menafikan bawah pemotongan sebanyak 125 bps OPR sepanjang tahun ini memberikan impak negatif ke atas keuntungan bersih institusi perbankan negara pada tahun kewangan (FY20), kira-kira sehingga 10%.

“Ahli ekonomi kami percaya tiada lagi pemotongan OPR pada tahun ini. Analisis kami mendapati keuntungan bersih Alliance Bank dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) paling sensitif terhadap perubahan OPR.

“Kami menjangkakan setiap pengurangan atau penambahan 25 bps terhadap OPR menyaksikan keuntungan bersih kedua-dua bank bertambah atau berkurangan sebanyak 8% pada FY21.

Baca : Potongan OPR buka peluang Affin lonjak keuntungan FY21

“Hanya satu-satunya bank, berdasarkan analisis kami, akan menerima impak sebaliknya adalah Affin Bank. Kami menjangkakan setiap pemotongan 25 bps OPR akan meningkatkan keuntungan bersih FY21 bank itu sebanyak 2.8% dan sebaliknya,” jelas analisis CGS-CIMB.

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menjelaskan pengekalan OPR kepada 1.75% dibuat memandangkan ekonomi global terus pulih dengan pengurangan langkah-langkah pembendungan pandemik COVID-19 oleh lebih banyak ekonomi dan sokongan dasar yang kukuh.

Baca : BNM kekalkan kadar 1.75% OPR

Dalam nota kajian lain, CGS-CIMB percaya kadar 1.75% menandakan tahap kitaran yang mula longgar. 

“Perlumbaan dasar akomodatif (dovish) sehingga ke paras terendah oleh bank-bank utama termasuk Rizab Persekutuan dan Bank Pusat Eropah (ECB) cenderung untuk memenuhi jangkaan dasar bagi tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan. 

“Dengan itu, kami tidak menjangkakan dasar monetari ke paras dasar normal akan bermula hingga selepas 2021, ketika jurang pengeluaran dan trend inflasi Malaysia tertumpu pada paras seimbang,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com