Tiada ‘tempias’ Proklamasi Darurat, pelabur asing ‘borong’ ekuiti Malaysia | DagangNews Skip to main content

Tiada ‘tempias’ Proklamasi Darurat, pelabur asing ‘borong’ ekuiti Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Pelabur asing kembali menjadi pembeli terbesar saham Malaysia dengan nilai aliran masuk mencecah RM326.06 juta pada minggu lalu. 

 

Ironinya, pengumuman Proklamasi Darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu lalu tidak mencetuskan aliran keluar asing besar-besaran. 

 

“Apabila pasaran dibuka semula pada Isnin minggu lalu, pelabur asing membeli sebanyak RM87.85 juta ekuiti tempatan, dengan pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing merupakan pembeli terbesar (RM1.59 juta) dan penjual terbesar (-RM89.45 juta).

 

“Pelabur asing merupakan pembeli terbesar setiap hari pada minggu lalu. Aliran masuk terbesar dicatatkan pada Rabu bernilai RM127.24 juta dan nilai terendah pada Jumaat hanya berjumlah RM3.69 juta,” jelas MIDF Research dalam nota kajiannya.

 

Rata-rata firma penyelidik menjangkakan Proklamasi Darurat tidak mendatangkan impak yang besar ke atas pasaran saham Malaysia. 

 

Baca : Apa anda perlu tahu tentang Proklamasi Darurat?

 

Dalam pada itu, pelabur institusi tempatan sebaliknya menjadi penjual ekuiti terbesar setiap hari pada minggu lalu. 

 

Jelas MIDF, aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Selasa bernilai -RM103.43 juta dan jumlah terendah pada Khamis (-RM12.28 juta). 

 

Sementara pelabur runcit pula membeli ekuiti tempatan kecuali pada hari Rabu, tambah MIDF. 

 

“Walaupun terdapat aktiviti pembelian ekuiti, namun aliran masuk harian secara keseluruhannya kecil dan dicatatkan di bawah RM7 juta kecuali pada hari Jumaat. 

 

“Aliran masuk tertinggi dicatatkan pada hari Jumaat dan terendah pada hari Selasa, masing-masing bernilai RM67.56 juta dan RM1.50 juta. 

 

“Secara keseluruhannya, bagi minggu ketiga 2021, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli terbesar bernilai RM735.89 juta, manakala pelabur institusi tempatan dan asing masing-masing menjual -RM724.94 juta dan -RM10.96 juta ekuiti Malaysia,” ujar MIDF.

 

Jika dibandingkan dengan tiga lagi pasaran sedang membangun di Asia Tenggara, Thailand, Indonesia dan Malaysia mencatatkan aliran masuk asing kecuali Filipina.

 

Dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatatkan penurunan mingguan sebanyak 3.63% nilai purata dagangan harian (ADTV), sementara pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing meyaksikan ADTV menurun sebanyak -4.89% dan -18.08%. 

 

MIDF mendedahkan tiga saham yang menyaksikan aliran masuk tertinggi adalah Hartalega Holdings Berhad (RM5.24 juta), Hong Leong Bank Berhad (RM4.71 juta) dan IOI Corporation Berhad (RM3.30 juta). 

 

Tiga saham yang menyaksikan aliran keluar tertinggi adalah Malayan Banking Berhad (-RM6.70 juta), CIMB Group Holdings Berhad (–RM6.17 juta) dan Tenaga Nasional Berhad (–RM4.63 juta). - DagangNews.com