Tiga menteri bakal digugurkan? | DagangNews Skip to main content

Tiga menteri bakal digugurkan?

Perdana Menteri dikatakan tidak berpuas hati dengan prestasi tiga menteri terbabit

 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Jan - Dua menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan seorang daripada UMNO didakwa bakal digugurkan ekoran gagal memberikan prestasi terbaik dan menimbulkan kontroversi semasa bencana banjir baru-baru ini.

 

Menteri terbabit, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

 

Memetik laporan Suara.TV hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan tidak berpuas hati dengan Dr. Latiff yang gagal memainkan peranan berkesan semasa bencana banjir.

 

Selain itu, kontroversi penularan video melibatkan Rina yang seolah-olah berlakon membersihkan kawasan banjir lumpur yang telah bersih dikritik hebat pelbagai pihak.

 

Halimah daripada UMNO turut menimbulkan kontroversi apabila memberikan penjelasan kepada ahli Parlimen mengenai agihan peruntukan RM100 juta Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia.

 

Perdana Menteri dijangka mengadakan perbincangan empat mata dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai rombakan kabinet berhubung isu tersebut. - DagangNews.com