TM diiktiraf ‘syarikat terbaik untuk bekerja di Asia’  | DagangNews Skip to main content

TM diiktiraf ‘syarikat terbaik untuk bekerja di Asia’ 

NORHAMIJAH MOHD HANAFIAH mewakili TM menerima anugerah-anugerah tersebut di Anugerah HR Asia, baru-baru ini.
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 April - Sebagai pengiktirafan atas usaha cemerlangnya dalam menjaga kebajikan kakitangan, Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini dinobatkan sebagai antara Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia 2020 (edisi Malaysia) oleh Anugerah HR Asia.

 

Ini merupakan kejayaan berganda apabila TM turut merangkul Anugerah WeCare: Syarikat Paling Prihatin HR Asia 2020 bagi inisiatif dan tindakan syarikat dalam melindungi keselamatan dan memastikan kebajikan anggotanya sepanjang pandemik COVID-19. 

 

Pemangku Ketua Pegawai Modal Insan TM, Norhamijah Mohd Hanafiah berkata, kakitangan TM merupakan daya pemacu di sebalik kejayaan syarikat dan enjin yang menggerakkan syarikat untuk berfungsi sepenuhnya dan menuju transformasi.

 

“Sememangnya amat mencabar bagi TM untuk memastikan anggota kami kekal selamat sambil kami terus berkhidmat kepada negara dengan tahap perkhidmatan dan kecekapan perniagaan yang terbaik semasa tempoh yang tidak dijangkakan ini. 

 

“Kami dengan rendah diri menerima bukan satu, tetapi dua anugerah yang mengiktiraf kecemerlangan pengurusan modal insan kami. Semua pengiktirafan ini ditujukan kepada kerja keras dan kesungguhan mereka dalam memberikan yang terbaik kepada para pelanggan kami, masyarakat dan negara, terutamanya ketika waktu yang mencabar ini. 

 

TM
DUA anugerah yang berjaya dibawa pulang oleh TM pada Majlis Anugerah HR Asia, baru-baru ini.

 

“Sebagai majikan pilihan, kami kekal komited untuk melindungi kebajikan anggota kami di samping melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah melengkapkan warga TM dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan menerusi latihan dan program-program peningkatan kemahiran,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Tambah beliau, selain memastikan kebajikan terbaik untuk kakitangan, TM  sedang membentuk semula tenaga kerja untuk mengamalkan budaya kerja secara tangkas (agile) dengan kemahiran yang bersedia untuk masa hadapan (future-ready skills) ke arah memacu Digital Malaysia.

 

Katanya, ini selaras dengan sokongan mereka terhadap inisiatif-inisiatif pembinaan negara oleh kerajaan antaranya Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

 

 HR Asia Best Companies to Work for in Asia merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh HR Asia bagi mengiktiraf organisasi-organisasi seluruh Asia, meliputi 11 pasaran di dalam bidang kecemerlangan strategi tempat kerja, jenama majikan dan penglibatan kakitangan. 

 

Organisasi-organisasi perlu melalui proses yang teliti berdasarkan kaji selidik kakitangan dan pemeriksaan audit wajib di lapangan sebelum dipilih sebagai pemenang. - DagangNews.com