TNB beri amaran penyalahgunaan tanda dagangan syarikat | DagangNews Skip to main content

TNB beri amaran penyalahgunaan tanda dagangan syarikat

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Sebarang penggunaan tanda dagangan (trademark) Tenaga Nasional Berhad (TNB) oleh orang ramai perlu mendapatkan persetujuan bertulis daripada kumpulan syarikat. 

 

TNB memberi amaran bahawa pihaknya berhak untuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap mana-mana syarikat dan/atau individu yang melanggar hak atau menyalahguna nama dan logo kumpulan. 

 

“TNB ingin menasihatkan orang ramai mengenai pelanggaran hak atau penyalahgunaan nama, logo serta tanda dagangannya dalam apa jua bentuk. 

 

“Nama ‘Tenaga Nasional Berhad’ dan logonya adalah tanda dagangan berdaftar syarikat menurut Akta Cap Dagangan 2019. 

 

“Mana-mana individu yang melanggar hak atau menyalah guna nama dan logo TNB dalam apa jua bentuk dinasihatkan untuk segera berhenti berbuat demikian,” kata TNB dalam satu kenyataan. 

 

Dalam masa sama, TNB menasihatkan orang ramai agar tidak mendapatkan perkhidmatan daripada mana-mana syarikat yang mendakwa ia telah memperoleh persetujuan atau dilesenkan oleh TNB.

 

Ini termasuk bagi tujuan membantu pendaftaran, pembaharuan sijil dan mengemas kini maklumat vendor menerusi laman webnya yang tidak mempunyai kebenaran www.e-tnb.com.my dan www.evendor.com.my

 

“TNB tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau pihak lain sebagai ejen untuk melakukan proses pendaftaran, pembaharuan sijil atau kemaskini profil bagi vendor, pembekal dan kontraktor. 

 

“Semua syarikat perlu berurusan secara langsung dengan TNB melalui TNB Supply Chain Management System di pautan https://srm.tnb.com.my/portal atau melalui e-mel evendor_perolehan@tnb.com.my



“Orang ramai yang mengetahui mengenai pelanggaran hak atau penyalahgunaan tanda dagangan TNB boleh memaklumkannya menerusi e-mel GCC.Trademark@tnb.com.my,” tambah TNB. - DagangNews.com