Skip to main content

TNB bimbang kes litar belantik di talian voltan tinggi meningkat 7 kali ganda

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan sebanyak tujuh kali ganda kes litar belantik (tripping) di talian voltan tinggi akibat kerja-kerja pembinaan berhampiran kawasan rizab talian syarikat utiliti itu dalam tempoh 10 bulan tahun ini.

 

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, tahun lalu hanya satu kes dicatatkan namun tahun ini sehingga Oktober ia mencecah ke lapan kes akibat kerja-kerja pembinaan oleh pemaju dalam rentis (right-of-way) talian voltan tinggi syarikat itu.

 

Katanya, individu atau objek yang berada terlalu hampir dengan talian voltan tinggi boleh menyebabkan berlakunya percikan arka (flashover) walaupun tiada sentuhan fizikal.

 

Beliau memberitahu, kes berkenaan boleh menyebabkan kehilangan nyawa malah memberi kesan kepada kestabilan dan keselamatan sistem Grid nasional yang menyalurkan bekalan elektrik kepada hampir 9.5 juta pelanggan di Semenanjung Malaysia merangkumi operasi perindustrian dan perdagangan.

 

“Kami bimbang jika ada pemaju yang masih ingkar nasihat kami untuk menjauhi rentis talian penghantaran TNB, kes litar belantik tahun ini akan kembali meningkat kepada dua digit seperti yang dilaporkan pada tahun 2018 dengan 18 kes.”

 

“Bagi menangani isu ini, TNB telah mengambil pelbagai langkah proaktif seperti membuat pemantauan dan mengenal pasti projek tanpa kelulusan dan membuat rondaan sepanjang talian bagi melihat kawasan berisiko tinggi.
 

 

Datuk Ir. Husaini Husin
                                    Datuk Ir. Husaini Husin

 

 

“Sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan juga dilakukan selain usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemaju dan penduduk sekitar melalui pengedaran risalah, pemasangan papan tanda amaran, penggunaan kamera keselamatan pintar, memasang penghadang had ketinggian sementara serta meletakkan penanda sempadan di kawasan rentis TNB," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), mana-mana pihak yang membuat aktiviti berhampiran dengan pepasangan elektrik tanpa kebenaran dan berkemungkinan mengganggu pepasangan elektrik tersebut atau menyebabkan bahaya kepada mana-mana orang atau harta, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. 

 

Antara aktiviti yang dilarang dalam kawasan rentis termasuk rekreasi, memancing atau alat permainan kawalan jauh seperti dron, aktiviti menggunakan jentera berat untuk kerja-kerja pembinaan dan berlindung di kawasan itu semasa cuaca buruk.

 

Aktiviti pembakaran terbuka juga tidak dibenarkan di kawasan rentis selain tidak dibenarkan membina kolan dan mengorek lombong serta melebarkan sungai selain aktiviti pemasangan tiang bendera atau membina struktur melebihi enam kaki.

 

Aktiviti membawa galah aluminium dengan kaedah menegak melintasi talian penghantaran voltan tinggi adalah tidak dibenarkan selain membina tapak semaian melebihi enam kaki.

 

Mengikut Akta sama, perbuatan mnyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada mana-mana pepasangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 

Sekiranya terdapat insiden pencerobohan atau sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB, pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine. - Dagangnews.com