Skip to main content

TNB capai kemajuan terbesar dalam penggunaan RE 

 

 

KUALA LUMPUR 14 Julai - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mencapai kemajuan terbesar dalam penggunaan tenaga diperbaharui (RE) berbanding syarikat pengeluar tenaga yang lain di negara ini, menurut TA Securities Holdings. 

 

Syarikat pengeluar tenaga lain di termasuklah Malakoff Corp Bhd. dan YTL Power International Bhd. 

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Kylie Chan Sze Zan berkata, bagaimanapun penggunaan RE masih di peringkat awal berbanding tenaga berasaskan fosil.

 

"Tetapi, kami berpendapat, TNB begitu proaktif bagi mencapai matlamat RE dan perubahan pantas setakat ini adalah langkah terpuji," katanya. 

 

Jelasnya, Malakoff baru memulakan usaha mempelbagaikan sumber tenaga termasuk RE menerusi pelaksanaan projek-projek kecil. 

 

"Bagi YTL Power pula, kumpulan perlu meningkatkan usaha untuk meneroka peluang pertumbuhan dalam RE," katanya. 

 

TA Securities mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor tenaga dan utiliti memandangkan pemain industri masih kekal berdaya tahan sama ada sebelum mahupun selepas pandemik COVID-19.

 

Malah, katanya, pendapatan sektor itu juga terlindung daripada segala ketidaktentuan yang dicetuskan oleh wabak ini.

 

"Oleh itu, ia menawarkan pertumbuhan pendapatan dan harga sahamnya pula lebih stabil," katanya.
 

Firma itu meletakkan saranan 'beli' ke atas saham TNB, Malakoff dan YTL Power dengan harga sasaran masing-masing pada RM11.50, 97 sen dan 85 sen. - DagangNews.com