TNB Genco sumbang dana bantu mangsa kebakaran di Kapar | DagangNews Skip to main content

TNB Genco sumbang dana bantu mangsa kebakaran di Kapar

Kediaman Yusni Mohd Sharif, 55, satu daripada tiga kediaman yang terlibat dalam kebakaran di Taman Seri 12, Kampung Batu 12 Kapar di daerah Klang, Selangor pada 4 Mac lalu. Gambar TNB


 


KLANG 26 Julai - Nasib tiga keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di Taman Seri 12, Kampung Batu 12 Kapar di daerah Klang, Selangor pada 4 Mac 2021 terbela dengan sumbangan bernilai RM30,000 oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco).

 

TNB Genco menyumbang wakalah zakat sebanyak RM10,000 setiap seorang kepada mangsa Yusni Mohd Sharif, 55; Siti Atikah Ibrahim, 33 dan Abdul Muiz Ahmad Safari, 28, yang tinggal di kawasan kejiranan Stesen Janaelektrik Sultan Abdul Aziz Shah di Kapar milik anak syarikat TNB Genco, Kapar Energy Ventures (KEV) Sdn Bhd.

 

Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti berkata, sumbangan tersebut adalah tanda prihatin Syarikat terhadap masyarakat sekitar, terutamanya mereka yang diuji dengan cabaran di kala wabak COVID-19 sedang memuncak.

 

“TNB sentiasa peka terhadap masyarakat di sekitar kawasan kejiranan di mana ia beroperasi. Nasib mereka yang menjadi mangsa kebakaran ini perlu dibantu lebih-lebih lagi dalam suasana yang begitu mencabar kini,” kata Nor Azman.

 

Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti
Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti

 

Dalam majlis pertemuan secara maya antara TNB dan mangsa kebakaran yang diadakan pada 9 Julai lalu, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, bantuan TNB kepada mangsa ini memberikan isyarat bahawa syarikat korporat tidak mengejar keuntungan semata-mata, tetapi mengambil tanggungjawab berkongsi keuntungan dengan masyarakat melalui sumbangan-sumbangan seumpama ini.”

 

Tambah beliau, sumbangan ini adalah tepat pada masanya mengambil kira kesusahan rakyat berdepan pandemik COVID-19, terutamanya bagi ketiga-tiga mangsa kebakaran.

 

Dalam kebakaran yang berlaku pada jam 12.30 tengah hari itu, kediaman Siti Atikah dan Yusni masing-masing musnah sepenuhnya manakala Abdul Muiz mengalami kerosakan pada bahagian hadapan kediamannya.

 

“Saya berterima kasih dengan sumbangan TNB yang amat bermakna ini untuk membiayai kos baik pulih rumah yang musnah. Sumbangan ini memberikan semangat baharu kepada saya, lebih-lebih lagi dengan cabaran membesarkan dua orang anak yang masih kecil,” kata Siti Atikah yang bekerja sebagai seorang kerani.

 

Bagi Abdul Muiz, meskipun hanya sebahagian daripada rumahnya terjejas akibat kebakaran, bantuan yang diberikan TNB amat bermakna buat beliau sekeluarganya.

 

“Rumah saya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dalam kebakaran itu. Sumbangan ini amat membantu saya dalam membiayai kos baik pulih rumah dan saya sangat berterima kasih kepada semua pihak khususnya TNB yang memberikan bantuan kepada kami,” jelas Abdul Muiz yang juga bekerja sebagai seorang kerani. - DagangNews.com