TNB komited tingkatkan keupayaan vendor bumiputera | DagangNews Skip to main content

TNB komited tingkatkan keupayaan vendor bumiputera

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid (kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din menunjukkan paparan pameran ketika Hari Terbuka Vendor TNB di Kuala Lumpur, hari ini. 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited untuk meningkatkan penyertaan vendor bumiputera bagi projek pembekalan tenaga elektrik yang diagihkan syarikat utiliti negara itu. 

 

Dalam tempoh 4 tahun kebelakangan ini, secara purata TNB telah mengagihkan sebanyak RM8 bilion setahun bagi nilai projek tersebut.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, setakat ini sebanyak 53% vendor bumiputera telah mendapat manfaat daripada projek-projek yang dilaksanakan TNB dalam tempoh 20 tahun lalu.

 

Katanya, TNB turut menyasarkan penyertaan vendor ini akan dipertingkatkan lagi pada masa akan datang. 

 

"Bagi kami ini satu pencapaian yang sangat membanggakan dan terbaik pernah direkodkan syarikat milik kerajaan (GLC) setakat ini. 

 

"Sehubungan itu, kami akan memastikan nilai tambah bagi syarikat-syarikat vendor bumiputera ini akan dipertingkatkan pada masa akan datang," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Hari Terbuka TNB di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid. 

 

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan dan penerangan mengenai produk dan perkhidmatan terbaharu TNB kepada vendornya. 

 

Pendedahan ini bagi membolehkan mereka meneroka peluang perniagaan dan menghasilkan produk baharu berkaitan industri bekalan elektrik, selari dengan peranan TNB membantu usaha kerajaan merancakkan pertumbuhan ekonomi susulan pandemik COVID-19.

 

Lebih 150 vendor TNB menghadiri program Hari Terbuka Vendor TNB itu. 

 

Baharin berkata, TNB sentiasa berkongsi peluang bisnes dengan vendornya melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif perbekalan elektrik, antaranya program pemasangan meter pintar dengan perolehan bernilai lebih RM1.2 bilion sehingga kini.

 

Beliau memberitahu, sebagai pelaksana projek meter pintar bagi pihak kerajaan, TNB telah memasang meter pintar
bermula di Melaka sejak 2017 dan kini sedang giat memasangnya di Lembah Klang.

 

"Projek meter pintar telah membuka peluang pelaburan kepada pengilang dan pembekal tempatan bagi memenuhi keperluan meter, infrastruktur telekomunikasi dan software yang berkaitan, dengan nilai perolehan melebihi RM1.5 billion untuk tempoh 3 ke 4 tahun akan datang," katanya. 

 

Menurutnya, bagi meter pintar TNB menyasarkan 100% kandungan tempatan dari segi pemasangan dan pengilangan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

"Dalam tempoh 3 tahun lalu, 90% daripada pemasangan ini diimport dari luar dan kini kita sedang sediakan vendor tempatan supata mereka mampu menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah tinggi. 

 

"Selain itu, kita juga akan memastikan proses ini diteruskan untuk produk-produk lain di bawah TNB," jelas beliau. 

 

Sementara itu, Mahdzir berkata, pemasangan meter pintar akan mencapai kesemua 9 juta pelanggan di seluruh negara dalam tempoh 5 tahun lagi. 

 

Katanya, setakat tahun lalu, sebanyak 1.2 juta pelanggan telah melaksanakan pemasangan meter pintar.

 

"Bagaimanapun, pemasangan meter pintar ini agak lambat disebabkan pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan sepanjang 2020," katanya. 

 

Beliau juga berkata, sebagai syarikat GLC yang bertanggungjawab, TNB telah mengambil langkah proaktif dan sentiasa berusaha membantu vendor-vendor yang terjejas.

 

Jelas beliau, inisiatif yang telah diambil bagi vendor-vendor yang mempunyai kekangan untuk beroperasi sepanjang PKP antaranya adalah penjadualan semula pembekalan dan kelancaran sistem pembayaran kerja yang telah siap. - DagangNews.com