KUALA LUMPUR 1 Sept - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menjangkakan prestasi yang munasabah untuk tahun ini dan kekal berhati-hati terhadap kesan berpanjangan daripada harga bahan api yang tinggi dan prospek risiko kredit pelanggan.
Ini kerana di sebalik prestasi berdaya tahan pada separuh pertama 2022, syarikat utiliti itu masih menghadapi cabaran dan kekal terdedah kepada kenaikan harga bahan api mengakibatkan baki penghutang yang tinggi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, dalam hal ini, kumpulan akan terus mengambil langkah berhemat dari segi keperluan operasi dan kewangannya untuk memastikan ia kekal berdaya tahan.
Beliau menyifatkan pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pembayaran RM5.8 bilion dan jaminan RM6
bilion kemudahan pinjaman menterjemahkan usaha bersepadu kerajaan dan TNB dalam menangani keadaan harga bahan api yang tinggi.
"Mengenai akaun belum terima yang besar disebabkan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) pada separuh pertama ini, kumpulan mengambil langkah proaktif untuk mengurus modal kerja.
"Ini termasuk memenuhi kewajipan kami kepada pembekal dan vendor melalui pemantauan aliran tunai secara berterusan dan mendapatkan pinjaman tambahan apabila diperlukan.
“Kami kekal berhemat dalam pengurusan modal kerja dan menjangkakan penarafan kredit kekal stabil. Malah, kami juga menambah baik kutipan dengan kadar purata 98% untuk tempoh itu berbanding 92% pada tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.
TNB mencatatkan prestasi berdaya tahan pada separuh pertama 2022 disokong permintaan elektrik lebih tinggi sebanyak 5% tahun ke tahun sejajar pertumbuhan berterusan ekonomi pasca pandemik.
Hasil kumpulan tanpa bayaran balik ICPT bagi tempoh tersebut meningkat 4.4% kepada RM24.99 bilion daripada RM23.93 bilion.
Ia merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) lebih tinggi, kepada RM905.6 juta pada suku kedua 2022, berbanding RM871.2 juta pada suku pertama 2022.
Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) dilaporkan pada RM10.58 bilion. EBITDA (tanpa bayaran balik ICPT) meningkat kepada 42.3% daripada 40.6% berbanding tempoh yang sama tahun lepas, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi operasi TNB.
Baharin berkata, hasil lebih tinggi itu berikutan kenaikan jualan elektrik TNB dalam semua sektor, selaras peningkatan keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.9% tahun ke tahun.
“Prestasi kewangan ini mencerminkan prestasi teknikal yang kukuh mendukung rangkaian kekal teguh dengan Sistem Minit 0.01 dan 22.01 minit SAIDI (Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan), diambang lebih baik daripada sasaran," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menggariskan empat inisiatif untuk mempercepatkan agenda kemampanan TNB di bawah Pelan Peralihan Tenaga dengan aspirasi mengurangkan intensiti pelepasan karbon kepada sifar bersih menjelang 2050.
Inisiatif itu katanya, merangkumi usaha untuk menggerakkan penyahkarbonan bagi meningkatkan nilai perusahaan TNB Genco, meluaskan fokus pasaran untuk mengembangkan portfolio TBB, meneruskan pelaburan untuk grid masa depan dan menumpukan kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik.
TNB baru-baru ini mengumumkan komitmennya untuk melabur sekitar RM10 hingga RM20 bilion setahun dalam tempoh 28 tahun akan datang sebagai perbelanjaan modal (capex) untuk inisiatif mempercepatkan Pelan Peralihan Tenaga yang akan membawa pertumbuhan perniagaan yang positif kepada kumpulan.
Menurut Baharin, TNB akan melihat peralihan besar kepada Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan teknologi hijau baharu ke arah masa depan, memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.
“Komitmen ini memenuhi kedua-dua komitmen ESG dan pertumbuhan perniagaan untuk TNB. Kami menyegerakan inisiatif peralihan ini atas dorongan rasa tanggungjawab mendalam TNB terhadap landskap tenaga negara, serta rasa mendesak untuk memastikan kemampanan perniagaan kami,” katanya. - DagangNews.com