Skip to main content

TNB raih anugerah Brand of the Year kali kelima dari World Branding Awards

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - Tenaga Nasional Berhad (TNB) merangkul anugerah berprestij antarabangsa, Brand of the Year buat kali kelima menerusi World Branding Awards edisi ke-14, anjuran World Branding Forum (WBF) yang berpangkalan di London baru-baru ini. 

 

World Branding Awards ialah anugerah terunggul WBF bagi mengiktiraf pencapaian jenama-jenama terbaik dunia atas pencapaian inovatif dan kreatif untuk kekal unik dan relevan kepada pelanggan mereka sepanjang tahun lalu. 

 

TNB mula menerima pengiktirafan Brand of the Year bagi kategori Tenaga-Kuasa pada 2014 dan menerima anugerah yang sama berturut-turut pada 2018, 2019, 2020 dan tahun ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, anugerah itu adalah manifestasi usaha berterusan 35,000 warga kerjanya yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih 10.3 juta pelanggan disebalik cabaran pandemik COVID-19.

 

“Kami sentiasa berusaha memberikan pengalaman pengguna bertaraf dunia dengan ketangkasan kami memperkenalkan perkhidmatan baharu dan komitmen membuat pelaburan ke arah peralihan tenaga selaras dengan aspirasi TNB menjadi pemacu perbekalan solusi tenaga mampan di Malaysia dan peringkat antarabangsa. 

 

“Antara inisiatif utama yang sedang giat kami laksanakan sekarang adalah memperkukuhkan dan memodenkan sistem Grid Nasional menjadi grid pintar untuk perkhidmatan bekalan yang lebih berkualiti dan memasang meter pintar bagi memperkasa pengguna. 

 

tnb
Datuk Ir Baharin Din

 

“Untuk meter pintar, pemasangannya kini telah pun memberi manfaat kepada 1.8 juta pengguna di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka. Projek pemasangan ini akan diperluaskan ke seluruh Semenanjung secara berperingkat," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Lebih 345,000 pengguna di seluruh dunia menyertai proses pencalonan World Branding Awards tahun ini. 

 

Daripada lebih 5,300 jenama dari lebih 60 negara yang dicalonkan, hanya 500 jenama diisytiharkan sebagai pemenang. 
 

Pemenang ditentukan berdasarkan penilaian jenama (30%), pengundian awam secara dalam talian (30%) dan penyelidikan pasaran pengguna (40%). - DagangNews.com