Skip to main content

TNB sumbang RM100,000 bantu mangsa banjir Gunung Jerai

Takiyuddin Hassan (dua kiri) diiringi Baharin Din menyantuni warga kerja TNB di kaki Gunung Jerai dalam Lawatan Kerja Menteri KeTSA ke Negeri Kedah, 4 September 2021.
 

 

KUALA LUMPUR 6 Sept - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyerahkan cek sumbangan RM100,000 untuk membantu mangsa bencana kepala air Gunung Jerai, Sabtu lalu.

 

Beliau yang diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, menyampaikan sumbangan tersebut kepada Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit di Pusat Operasi Bencana, Titi Hayun, Yan, Kedah.

 

Takiyuddin yang mengadakan lawatan pertama beliau sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli berada di Yan untuk meninjau kawasan tanah runtuh akibat kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu dan usaha TNB memulihkan aset dan infrastuktur bekalan elektrik yang rosak dan terjejas ekoran bencana berkenaan.

 

Beliau turut menyantuni warga kerja syarikat utiliti elektrik negara itu yang masih giat melakukan kerja-kerja membaik pulih. TNB telah menyediakan janakuasa bergerak untuk membekalkan elektrik sementara kepada semua pengguna terjejas sehingga bekalan elektrik dipulihkan sepenuhnya.

 

Turut hadir, Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah; ADUN Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat dan Ketua Polis Daerah Yan, DSP Shahnaz Akhtar Haji.

 
 

TNB
Takiyuddin Hassan (tengah) diiringi Baharin Din (kanan) menyerahkan replika cek sumbangan CSR TNB bagi mangsa banjir yang bernilai RM100,000 kepada Sabri Azit (kiri) dalam Lawatan Kerja Menteri ke Kedah di Pusat Operasi Bencana, Titi Hayun, Yan, Kedah pada 4 September 2021.

 

Bencana kepala air yang melanda kaki Gunung Jerai telah menyebabkan banjir kilat di beberapa buah kampung dan kawasan peranginan di sekitar daerah Yan, Gurun dan Merbok di Negeri Kedah. Banjir kilat dan limpahan air deras tersebut telah merosakkan kawasan kediaman dan infrastruktur utama, selain meragut enam nyawa penduduk. - DagangNews.com