TNB tandatangani PPA dengan Sharp Ventures Solar | DagangNews Skip to main content

TNB tandatangani PPA dengan Sharp Ventures Solar

 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Tenaga Nasional Bhd (TNB) memeterai perjanjian pembelian (PPA) tenaga solar fotovoltaik (PV) berskala besar (LSS) dengan Sharp Ventures Solar Sdn. Bhd., bagi pembelian tenaga elektrik selama 21 tahun.

 

Sharp Ventures Solar merupakan syarikat tujuan khas yang diperbadankan oleh Sharp Ventures Sdn. Bhd., yang juga merupakan pembida berjaya bagi projek LSS. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, syarikat utiliti itu berkata, Sharp Ventures akan mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan tenaga solar PV itu yang mempunyai kapasiti kapasiti arus bolak balik 50 Megawatt (MWac) di Klang, Selangor. 

 

"Menerusi perjanjian ini, ia mengawalselia pihak terbabit untuk menjual dan membeli tenaga yang dihasilkan oleh kemudahan itu bagi tempoh 21 tahun bermula dari tarikh operasi komersial dijangka pada 31 Disember 2023, mengikut syarat dan terma sebagaimana di dalam PPA tersebut," katanya. 

 

Jelas TNB, perjanjian itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham yang berbayar dan diterbitkan serta pegangan utama pemegang saham TNB. 

 

Katanya, ia akan memberi impak neutral kepada pendapatan TNB sepanjang tempoh PPA kerana kos penjanaan sepenuhnya diteruskan di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR). 

 

"Malah, tidak ada pengarah mahupun pemegang saham utama TNB dan atau individu yang berkaitan dengannya mempunyai kepentingan, langsung atau tidak langsung, berhubung PPA tersebut," jelasnya. - DagangNews.com