TNB tunda 2,000 kerja senggaraan tidak kritikal sepanjang Fasa 1 Lockdown | DagangNews Skip to main content

TNB tunda 2,000 kerja senggaraan tidak kritikal sepanjang Fasa 1 Lockdown

Juruteknik Diagnostik TNB Muhammad Nazmi Zakaria menggunakan pengimbas terma (thermal scanner) untuk menguji keadaan kabel sebagai sebahagian daripada proses diagnostik atau Penyelenggaraan Berasaskan Keadaan di Pencawang Pembahagian Utama Kompleks Sukan Bukit Jalil yang menyalurkan bekalan elektrik kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 Jun 2021.

 

 

KUALA LUMPUR 7 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjadualkan semula hampir 2000 kerja senggaraan yang tidak kritikal di Semenanjung sepanjang fasa pertama sekatan pergerakan penuh (total lockdown) bermula 1 Jun 2021 demi keselesaan pengguna.

 

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata penjadualan semula ini melibatkan kerja senggaraan tidak kritikal yang telah dirancang lebih awal.

 

“Bagaimanapun, barisan hadapan TNB akan terus memikul amanah melaksanakan kerja-kerja senggaraan kritikal walaupun angka penularan wabak COVID-19 kekal tinggi bagi memastikan sistem TNB sentiasa dalam keadaan baik, teratur dan berdaya harap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau memaklumkan terdapat sebanyak 404 kerja senggaraan kritikal dirancang sehingga 14 Jun yang turut melibatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), hospital, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Pusat Simpanan Vaksin (PSV).

 

“Kerja senggaraan kritikal masih perlu diteruskan.  Kami akan mengeluarkan notis pemakluman dan memasang set janakuasa bergerak dan membuat suap balik (feedback) di tapak supaya gangguan bekalan elektrik dapat diminimumkan.

 

“Senggaraan kritikal ini antara lain melibatkan kerja pembaikian perkakas telah dikenal pasti rosak dan pembaikan berdasarkan keadaan perkakas elektrik menerusi proses diagnostik atau Penyelenggaraan Berasaskan Keadaan. 

 

TNB
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood

 

Kerja-kerja senggaraan adalah penting bagi memastikan pepasangan TNB sentiasa dalam keadaan baik, selamat serta cekap, mengelakkan gangguan bekalan selepas pembaikan, membaiki kejanggalan yang timbul, dan mengurangkan risiko gangguan, jelasnya.

 

Wan Nazmy juga berkata, pasukan TNB juga sentiasa dalam keadaan siap saga untuk kerja-kerja kritikal lain yang tidak terancang atau di luar jangkaan, untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti percikan arka (flashover).

 

Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik atau terdapat kejanggalan pada pepasangan TNB, para pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine. Layanan dan tindakan sewajarnya akan diambil TNB. - DagangNews.com