Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 1 November 2021

TOK SHEIKH ARAB PUN RASA HIBAH LARIKAN DIRI DARI FARAID?

 

 

BARU-BARU ini saya dijemput oleh sebuah universiti di negara timur tengah untuk berwebinar berkongsi pengalaman Wasiyyah Shoppe Berhad mempelopori dan memacu industri perancangan harta secara syariah di Malaysia.

 

Sesi ini dihadiri oleh ahli akademik dari universiti berkenaan, pelajar-pelajar PhD mereka serta masyarakat awam.

 

Alhamdulillah nampaknya usaha kami untuk menyebarkan ilmu fiqh mawarith ini kepada masyarakat antarabangsa mulai diterima.

 

Selain cabaran umum, saya berkongsi juga  pengalaman dan cabaran kami membangun dan memperkenalkan kaedah hibah kepada rakyat Malaysia semenjak 2004. Selepas pembentangan maka sesi soal jawab pun dibuka.

 

Dua orang (bukan satu orang) profesor bertanyakan soalan yang hampir sama kepada saya.

 

Mereka bertanya tidakkah hibah yang kami perkenalkan ini bercanggah dengan hukum faraid?

 

Bukankah membuat hibah ini satu perbuatan tidak beretika?  Tidakkah perbuatan melarikan diri dari hukum faraid itu dilarang oleh agama Islam?

 

Soalan-soalan begini sebenarnya paling banyak saya terima dari masyarakat Malaysia sebelum tahun 2015.

 

Ketika itu ramai masyarakat salah faham mengatakan hibah melarikan diri dari faraid tanpa mengetahui secara tepat kedudukan hukum yang berkaitan harta pusaka dan hibah.

 

 

Wasiyyah

 

 

Hasil dari kerja istiqomah Wasiyyah Shoppe Berhad mendidik masyarakat dengan maklumat tepat semenjak 2004, pengenalan Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang memperincikan perihal hibah takaful dan usaha-usaha ahli akademik memberikan penjelasan, pemahaman masyarakat Malaysia hari ini tentang hibah  jauh lebih baik berbanding ketika kami bermula dahulu.

 

Hari ini majoriti masyarakat umum Malaysia sudah tahu apa perbezaan di antara wasiat dan hibah dan kedudukannya berbanding dengan faraid. 

 

Mereka sudah tahu bahawa jika mereka mahu membahagikan harta mereka kepada sesiapa yang mereka kehendaki sama ada waris seperti anak dan isteri atau bukan waris dan mereka tidak mahu terikat kepada apa-apa formula pembahagian (bebas memberikan berapa banyak pun harta mereka) , mereka perlu menggunakan kaedah hibah.

 

Masyarakat juga sudah faham bahawa penggunaan wasiat hanyalah tertakluk kepada tahap maksimum 1/3 dan penerimanya ialah bukan waris.

 

 

Wasiyyah

 

 

Terperanjat!

Namun apa yang memeranjatkan saya ialah apabila profesor di dalam bidang muamalat dari negara Arab juga terkeliru dengan kedudukan hibah berbanding faraid.

 

Soalan ini memang tidak saya jangkakan datang dari mereka namun pengalaman menjawab soalan yang sama berbelas-belas tahun lamanya saya gunakan sebaliknya bagi memberi penjelasan secara berhikmah.

 

Saya jelaskan kepada mereka perbezaan status di antara harta dan harta pusaka. Ini adalah perkara paling asas dalam kita memahami ilmu fiqh mawarith seperti yang saya jelaskan dalam artikel saya minggu lepas.

Harta itu milik kita hari ini dan selagi kita masih hidup kita berkuasa untuk membuat apa sahaja terhadap harta itu termasuklah menghibahkannya kepada sesiapa yang kita kehendaki sama ada waris atau bukan waris.

 

Hibah ini berkuatkuasa semasa kita masih hidup lagi. Jadi tidak timbul isu ia melarikan diri dari hukum faraid.

 

Kita kena ingat, hukum faraid hanya berkuatkuasa apabila si pemilik harta itu mati.

 

Harta pusaka pula bermaksud si pemilik harta sudah mati dan yang berhak ke atas harta pusaka itu adalah waris mengikut hukum faraid.

 

Hak mereka tidak boleh dinafikan dan wajib diberikan kecuali jika mereka bersetuju dengan rela hati melepaskan bahagian mereka kepada pihak waris yang lain.

 

 

Wasiyyah

 

 

Saya berikan juga contoh yang rapat dengan mereka iaitu hartawan terkemuka yang mengasas Bank Al Rajhi, Sheikh Sulaiman Al Rajhi.

 

Beliau telah pun menghibahkan sebahagian hartanya kepada anak-anak dan sebahagian lagi disedekahkan kepada badan dakwah dan kebajikan.

 

Hari ini beliau tiada harta langsung. Bila dia mati kelak, tiada hukum faraid akan terlaksana ke atas hartanya sebab dia memang sudah tiada harta!

 

Jadi saya tanyakan semula kepada profesor-profesor berkenaan, adakah Sulaiman Al Rajhi berdosa kerana perbuatan hibahnya itu dianggap melarikan diri dari hukum faraid? Alhamdulillah mereka faham dan menerima penjelasan saya.

Nampak gayanya kerja Wasiyyah Shoppe Berhad untuk berkongsi ilmu berkaitan fiqh mawarith ini akan semakin mencabar apabila kami mula meneroka pasaran antarabangsa mulai tahun ini.

 

Namun saya percaya kerja-kerja berasaskan ilmiah yang telah kami lakukan semenjak 17 tahun lepas akan memberi asas kukuh untuk kami berdepan cabaran tersebut.

 

Wasiyyah

 

Kenangan lama menggamit kembali!

Kejadian ini mengingatkan saya tentang insiden tiga tahun lepas. Di dalam satu ceramah umum seorang ustaz yang bekerja di jabatan syariah sebuah bank antarabangsa telah secara jelas menyebut nama Wasiyyah Shoppe Berhad di dalam ceramahnya.

 

Dia mengaku dia pernah menjadi daie kami tetapi telah tidak aktif. Dia mendakwa dia telah merujuk kaedah hibah yang dibuat oleh Wasiyyah Shoppe Berhad dengan beberapa orang tok sheikh arab.

 

Tok sheikh arab ini telah memberikan pandangan bahawa hibah yang kami sediakan tidak mengikut hukum syarak kerana ia berlaku selepas mati.

 

Dia membuat dakwaan itu tanpa mendapatkan penjelasan dari Wasiyyah Shoppe Berhad sama ada benar atau tidak hibah yang kami lakukan berkuatkuasa selepas kematian.

 

Sebagai syarikat amanah patuh syariah sepenuhnya, segala keputusan berkaitan operasi dan produk kami adalah di bawah bidang kuasa Panel Syariah kami yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Dr Md Yusup Che Teh, mantan hakim mahkamah rayuan Syariah JKSM Putrajaya yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai hakim mahkamah syariah.

 

Sebagai mantan hakim, beliau telah banyak memberi penghakiman kepada kes-kes berkaitan hibah sepanjang perkhidmatannya.

 

Enam ahli Panel Syariah kami yang lain pula berpengalaman puluhan tahun dan berpengetahuan di dalam bidang fiqh mawarith, muamalat dan pengurusan pusaka.

 

 

Wasiyyah

 

 

Jika sekiranya hibah yang dilaksanakan Wasiyyah Shoppe Berhad itu dikuatkuasakan selepas kematian dan bercanggah dengan hukum syarak, agaknya 7 orang Panel Syariah ini akan meluluskan? Bolehkah kami melaksanakan sesuatu yang tidak diluluskan oleh Panel Syariah?

 

Bila soalan ini ditanya saya oleh dua orang profesor arab ini, barulah saya dapat mengaitkan kenapa tok sheikh arab (jika benarlah ustaz berkenaan bertanya kepada mereka) memberi pandangan sedemikian.

 

Walaupun sumber rujukan ilmiah dan undang-undang yang kami gunakan dalam penyelidikan dan pembangunan perkhidmatan kami banyak datang dari negara timur tengah ini, namun kelihatannya pemahaman itu dalam kalangan ahli akademik mereka sendiri agak terhad.

 

Jika ahli akademik pun tidak jelas apakan pula masyarakat umum yang tidak faqih di dalam ‘subject matter’ ini.

 

Saya menghela  nafas panjang-panjang dan membayangkan cabaran-cabaran yang bakal kami lalui di masa hadapan.

 

Semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk kami terus istiqomah menyebarkan ilmu ini untuk manfaat umat Islam sedunia, Aaminn.

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Wasiyyah

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH TULISAN TN HJ ARIFFIN SABIRIN

 

 

 

Portfolio Tags