Top Glove rugi RM52.59 juta pada suku keempat, pendapatan terus merosot | DagangNews Skip to main content

Top Glove rugi RM52.59 juta pada suku keempat, pendapatan terus merosot

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Sept - Top Glove Corp. Bhd. mencatat kerugian bersih sebanyak RM52.59 juta pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2022 berbanding keuntungan bersih RM447.4 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Kerugian kali pertama yang direkodkan sejak ia disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2001 itu disebabkan industri sarung tangan getah sedang mengalami kesan normalisasi.

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi tempoh itu merosot kepada RM990.1 juta berbanding RM2.07 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Secara keseluruhan, bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22), pendapatannya susut mendadak kepada RM5.57 bilion daripada RM16.36 bilion dengan keuntungan bersih merosot kepada RM235.97 juta daripada RM7.71 bilion. 

 

Prestasi kewangan kumpulan yang lebih lemah muncul ketika industri mengharungi tempoh pelarasan, berdepan dengan faktor lebihan bekalan dan simpanan oleh pelanggan semasa pandemik COVID-19.

 

Situasi ini menyebabkan pesanan yang lebih perlahan, menyaksikan harga jualan purata (ASP) semakin menurun, yang telah diburukkan apabila pelanggan menggunakan pendekatan 'tunggu dan lihat' dengan menjangkakan ASP akan terus menurun. 

 

Berikutan kemerosotan dalam ASP, Top Glove telah menurunkan nilai inventorinya kepada nilai boleh direalisasi bersih sebanyak RM56 juta pada suku keempat dan sebanyak RM229 juta pada FY22.

 

Selain itu, kumpulan turut berdepan dengan peningkatan struktur kos yang disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global.

 

Di peringkat domestik, ia telah terjejas oleh kira-kira 60% kenaikan tarif gas asli sepanjang FY22, serta kenaikan 25% gaji minimum Malaysia kepada RM1,500 yang berkuat kuasa pada 1 Mei 2022.

 

Ekoran peningkatan kos dan kumpulan tidak dapat melepaskannya kepada pelanggan di tengah-tengah situasi lebihan bekalan yang berterusan, telah memberi kesan kepada keuntungannya.

 

 

Lim Cheong Guan
Lim Cheong Guan

 

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, kumpulan telah mempamerkan keuntungan yang kukuh sejak dua tahun lalu dan kini sedang berdepan dengan tempoh normalisasi memandangkan permintaan/bekalan sarung tangan getah yang kembali stabil.

 

"Kami menerima ini sebagai sebahagian daripada cabaran dalam perniagaan sarung tangan dan menyedari kerugian kami pada suku ini adalah sementara kerana yakin industri akan pulih selepas ini," katanya.

 

Bagi memastikan kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi tempoh mencabar ini, Top Glove memberi tumpuan pada kecekapan operasi dan rasionalisasi kos.

 

Antaranya termasuklah melaksanakan langkah-langkah pengurangan dengan menangguhkan semua perbelanjaan modal (capex) untuk kapasiti baharu pada 2023, memandangkan tahap penggunaan yang lebih rendah.

 

Ia juga mula menyelaraskan kemudahan, memberi fokus kepada meningkatkan bekalan bahan dalaman dan terus bekerjasama dengan pembekalnya ke arah memastikan perolehan yang lebih kos efektif untuk situasi menang-menang.

 

Di sebalik situasi lebihan bekalan, Top Glove kekal yakin apabila stok simpanan pelanggan kehabisan dan aktiviti penyimpanan semula sarung tangan disambung semula, pasaran akan kembali stabil dan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyerap bekalan tambahan daripada kapasiti baharu.

 

Memandangkan ASP sarung tangan mula stabil, kumpulan juga telah meningkatkan ASP sebanyak 5% untuk Oktober 2022, supaya kos boleh dilepaskan setelah mengalami peningkatan kos dalam setahun lalu.

 

Cheong Guan berkata, berdasarkan pengalaman industri, tempoh pelarasan dijangka berlaku selepas setiap wabak dan optimis mampu mengharungi tempoh sukar ini. 

 

"Apabila mekanisme permintaan/bekalan dapat diimbangi semula, kita akan melihat permintaan sarung tangan meneruskan pertumbuhan 10% setahun seperti yang diunjurkan oleh Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), selaras dengan penggunaan sebenar yang disokong oleh peningkatan kesedaran penggunaan dan penjagaan kebersihan," jelasnya. - DagangNews.com