SEPANG 23 Mei - Trafik antarabangsa di rangkaian lapangan terbang tempatan milik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat sebanyak 53% kepada 642,128 penumpang selepas pembukaan semula sempadan pada 1 April 2022.
Sejak itu, kumpulan telah merekodkan purata 23,000 pergerakan penumpang antarabangsa setiap hari, dengan jumlah memuncak melebihi 30,000 sempena cuti Hari Raya yang panjang.
Pada keseluruhannya, lapangan terbang tersebut merekodkan sejumlah 642,128 pergerakan penumpang antarabangsa yang mana Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) menunjukkan peningkatan paling ketara masing-masing melebihi 200%. jika dibandingkan bulan sebelumnya.
Sementara itu, kumpulan merekodkan sejumlah 2.78 juta penumpang untuk Malaysia pada April, dengan pergerakan penumpang domestik berjumlah 2.13 juta atau 77%.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, memandangkan lapangan terbang terus melihat pertumbuhan yang baik selepas pembukaan semula sempadan, syarikat penerbangan juga mengambil momentum dengan menyambung semula laluan penerbangan antarabangsa mereka secara aktif.
"Ini menambah keyakinan kami untuk pemulihan yang lebih cepat. Kami juga gembira kerana Tioman STOLport (TOD) telah beroperasi semula pada bulan ini untuk memberi perkhidmatan kepada laluan penerbangan SKS Airways’ (KI) Subang (SZB) – TOD.
"KI pada masa ini merupakan satu-satunya syarikat penerbangan dengan perkhidmatan berjadual yang membuat penerbangan di laluan ini 4 kali seminggu. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan rakan kongsi kami untuk mempercepatkan kadar pemulihan untuk kedua-dua sektor domestik dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
5 syarikat penerbangan menyambung semula 17 laluan antarabangsa bulan lepas termasuk Vietjet Air (VJ), Scoot (TR), AirAsia (AK), Thai AirAsia (FD) dan AirAsia X (D7).
VJ mengendalikan laluan Ho Chi Minh City (SGN) – Kuala Lumpur (KUL) dengan perkhidmatan empat kali seminggu dan merupakan syarikat penerbangan keempat mengendalikan laluan ini. TR menyambung semula perkhidmatan penerbangan hariannya untuk laluan BKI – Singapura (SIN).
Sementara itu, kumpulan syarikat penerbangan AirAsia iaitu AK, FD dan D7 meneruskan laluan berikut:
BKI – SIN, KUL – Hanoi (HAN), LGK – SIN, Ipoh (IPH) – SIN, Hatyai (HDY) – KUL, Don Mueng (DMK) – PEN, KUL – Incheon (ICN), KUL – New Delhi (DEL), KUL – SGN, KUL – Bengaluru (BLR), KUL – Kolkata (CCU), KUL – Kochi (COK), KUL – Chennai ( MMA), KUL – Tiruchirappalli (TRZ) dan KUL – Siem Reap (REP)
Bagi April, kumpulan merekodkan sejumlah 4.90 juta pergerakan penumpang bagi kedua-dua operasi Malaysia dan Turki yang merupakan penurunan sedikit sebanyak 7.9% berbanding Mac.
Penurunan pergerakan penumpang disebabkan bulan April yang merupakan bulan suci Ramadan yang menyaksikan permintaan yang lebih rendah untuk perjalanan tempatan dan global.
Daripada jumlah pergerakan trafik penumpang sebanyak 4.89 juta, lapangan terbang tempatan di Malaysia menyumbang 57%.
Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) di Turki mencatatkan sejumlah 2.13 juta penumpang yang masing-masing terdiri daripada 1.05 juta penumpang antarabangsa dan 1.08 juta penumpang domestik. - DagangNews.com