Tumpuan Bajet 2023 terhadap sektor utama negara | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 28 September 2022

Tumpuan Bajet 2023 terhadap Sektor Utama Negara

 

 

 

BAJET 2023 dijangka akan menjadi satu lagi belanjawan yang terbesar bagi memulihkan semula ekonomi Malaysia di samping menyantuni kelangsungan hidup rakyat. 

 

Bajet 2023 ini menjadi bakal menjadi belanjawan terbesar kerana ruang fiskal yang terhad dan jangkaan ekonomi global yang tidak menentu  pada tahun hadapan. 

 

Setiap sektor sememangnya menantikan inisiatif bajet bagi membolehkan sektor ini berkembang dengan lebih baik

Bajet2023

Sektor pertanian

Isu sekuriti makanan menjadi isu global kini. Jika Malaysia tidak mengambil langkah untuk segera ia akan menjejaskan rantaian bekalan makanan dalam jangka masa panjang.

 

Dek kerana isu ini,  sektor pertanian bakal mencuri tumpuan dalam Bajet 2023.  Bajet 2023 dilihat bakal membentangkan bajet yang agak besar bagi sektor ini.

 

Sektor pertanian merangkumi perladangan, penternakan, perikanan dan agro makanan perlu mengalami satu reformasi drastik dengan bajet yang lebih besar  bagi membantu sektor ini menghasilkan jumlah pengeluaran yang lebih banyak.

 

Bajet 2023 perlu merancakkan lagi pembangunan industri makanan negara dengan memperbanyakkan program termasuk memodenkan sektor pertanian negara demi memastikan bekalan makanan negara terus mencukupi.

 

Terkini,  Malaysia hanya mampu menghasilkan 46% daripada keperluan sayur-sayuran, 70% beras, 61% buah-buahan, 25% daging lembu, 11% daging kambing dan lima peratus hasil tenusu dan selebihnya masih bergantung kepada import.

 

Bajet 2023 juga perlu selari dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan (Pelan Tindakan DSMN)  2021-2025 bagi memperkukuh sekuriti makanan negara dengan mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan.

 

volatiliti

 

Sektor Pendidikan

Setiap tahun semasa pengumuman bajet, sektor pendidikan pasti akan menerima peruntukan yang terbesar. Sektor pendidikan dijangka bakal menerima bajet terbesar juga dalam bajet 2023 tahun ini.

 

Peruntukan Bajet 2023 terhadap sektor pendidikan dijangka akan meningkat antara 10% hingga 30%  berbanding bajet tahun lalu.

 

Ini disebabkan oleh bilangan penduduk yang bertambah ramai dan secara tidak langsung keperluan murid yang perlu sekolah yang lebih banyak dan keperluan guru juga akan bertambah.

 

Pasca pandemik menuntut sekolah juga mengubah cara pengajaran dan pembelajaran yang dahulunya secara konvensional dan kini kepada digital. Peralatan-peralatan berkait dengan teknologi maklumat (IT) perlu disediakan di sekolah bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran bagi membentuk sahsiah murid.

 

Bagi pendidikan tinggi pula, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diberi perhatian dalam Bajet 2023.

 

Malaysia perlu melihat beberapa negara maju lain seperti Korea Selatan dan Singapura yang kini sudah mula memberi tumpuan meningkatkan TVET bagi membangunkan modal insan bagi keperluan negara.

 

Dalam masa yang sama, Bajet 2023 perlu ada pengkhususan peruntukan untuk pemulihan pembelajaran buat pelajar yang tercicir serta pembangunan sistem pendidikan yang lebih menyeluruh.

 

Sektor pelancongan

Pembukaan sempadan menawar kepada perkembangan sektor pelancongan. Namun begitu secara asasnya sektor ini masih belum pulih sepenuhnya. 

 

Pandemik selama 2 tahun  mengheret sektor ini hampir lumpuh. Kini lebih kurang antara 30% -40% sektor ini kembali pulih.

 

Bajet 2023 perlu untuk terus menyokong sektor pelancongan negara. Apa yang diharapkan oleh pemain sektor pelancongan melalui Bajet 2023 ialah menaik semula taraf prasarana pelancongan negara supaya berkualiti.

 

volatiliti

 

Selain itu, bantuan subsidi juga perlu diberikan kepada pemain sektor pelancongan bagi merancakkan semula aktiviti pelancongan negara.

 

Bagi pemain industri yang berskala seberhana dan besar, mereka  memerlukan bantuan kewangan yang lebih “mesra” dengan skim pembayaran balik bagi aliran tunai yang konsisten. Ini kerana pemain sektor pelancongan yang berskala sederhana dan besar ini menanggung kos operasi yang besar.

 

Jika ada ihsan yang lebih baik, melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman selama 6 bulan lagi bagi pemain industri pelancongan dilihat membolehkan pemain industri ini “benar-benar bernafas kembali”.

 

Industri bioekonomi

Industri bioekonomi yang kini di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi  (MOSTI)juga memerlukan suntikan Bajet 2023.Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) yang kini diletakkan di bawah MOSTI, pelbagai agenda dan strategi yang telah dirancang bagi tahun 2023 bagi merangsang ekonomi negara yang terkesan akibat COVID-19.

 

Kenapa industri ini juga penting? Melalui Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia , industri ini  mempunyai pelbagai tanggungjawab termasuk memacu industri teknologi pintar dan memperbanyakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui di negara ini.

 

Dalam isu pemanasan global dan pembangunan mampan, pastinya penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui menjadi agenda utama.

 

Jika menyorot pada tahun 2021, projek tenaga yang diluluskan oleh kerajaan  juga agak besar kepada projek tenaga boleh diperbaharui ini seperti:

  1. Projek tenaga solar, 826 projek dengan peruntukan RM 2.8 bilion
  2. Projek solar untuk kegunaan sendiri, 818 projek dengan peruntukan RM 643 juta
  3. Projek solar berskala besar, 8 projek dengan peruntukan RM 2.1 bilion
  4. Projek biogas, 14 projek dengan peruntukan RM 196.3 juta
  5. Projek biojisim, 2 projek dengan peruntukan RM 38.8 juta

 

Bajet 2023 dijangka akan terus memperuntukkan dana yang besar kepada sektor ini bagi  meningkatkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui sebagai satu usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dan seterusnya menangani masalah pemanasan global.

 

Sektor hartanah

Pemain sektor hartanah mengharapkan lebih banyak perkara dapat dilaksanakan di bawah Bajet 2023 bagi membantu meningkatkan sektor hartanah yang menjurus kepada pemulihan ekonomi negara.

 

Antara yang diharapkan akan diumumkan dalam Bajet 2023 ialah melancarkan inisiatif pemilikan perumahan  Keluarga Malaysia. Pemilikan perumahan Keluarga Malaysia ini akan merancakkan pembangunan sektor hartanah negara.

 

volatiliti

 

Laporan Pasaran Hartanah Malaysia pada suku tahun ketiga 2022, permintaan sewa melonjak naik sebanyak 96.83% menandakan bahawa bakal pembeli rumah telah memilih untuk menyewa buat sementara waktu, dalam kebimbangan berkaitan kenaikan inflasi dan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

 

Bajet 2023 perlu menyasarkan kemudahan pemilikan rumah bagi kumpulan berpendapatan rendah hingga sederhana terutamanya golongan B40 untuk memiliki tempat tinggal sendiri.

 

Bagi pihak pemaju sektor hartanah pula, mereka mengharapkan Bajet 2023 akan memberi subsidi kepada kenaikan kos bahan mentah.

 

Menurut  Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), kos pembinaan dijangka meningkat dengan nilai purata sebanyak 19% tahun ini.

 

Ringkasnya, semua sektor di Malaysia memerlukan “suntikan” daripada Bajet 2023 bagi membangunkan semula sektor-sektor ini! – DagangNews.com

 

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor

 

Portfolio Tags