UEM Sunrise jayakan CSR akhiri 2020 | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise jayakan CSR akhiri 2020

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Syarikat pemaju hartanah terkemuka Malaysia, UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) mengakhiri suku tahun terakhir 2020 dengan manjayakan beberapa inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama masyarakat setempat sekitar tapak pembangunan.

 

UEM Sunrise berkata, pihaknya meneruskan tradisi untuk membantu masyarakat yang memerlukan susulan kesusahan dan cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia serta perniagaan tempatan akibat daripada pandemik COVID-19.

 

.

 

"UEM Sunrise turut meluaskan program CSR utamanya iaitu sebuah program kemasyarakatan dan program perdana dengan penubuhan sebuah ruang membaca Bukuhub di Kampung Orang Asli Simpang Arang, Gelang Patah, Johor pada 2 Oktober.

 

"Di Kampung Simpang Arang, para sukarelawan UEM Sunrise atau lebih dikenali sebagai ‘TitanSquad’ bukan sahaja terlibat untuk menyusun dan mengemas sebanyak 1,000 buah buku, mereka juga bersama-sama berganding bahu untuk mengecat dan menghias dewan komuniti masyarakat dengan pelbagai warna yang menarik untuk membangkitkan semangat para pembaca yang mengunjung. 

 

"Usaha syarikat diteruskan lagi melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat untuk orang awam, terutamanya di sekitar kawasan pembangunan yang dilaksanakan, Bukuhub di Kampung Simpang Arang, Gelang Patah adalah Bukuhub kelima yang ditubuhkan di Johor sejak permulaannya pada tahun 2019 untuk meningkatkan persekitaran taraf kehidupan komuniti Iskandar Puteri," jelas UEM Sunrise dalam satu kenyataan hari ini.

 

.

 

Inisiatif tersebut berobjektifkan untuk membina perpustakaan mini atau sudut bacaan bagi memupuk budaya membaca dan memudahkan orang ramai meminjam, bertukar-tukar atau membaca buku secara percuma. 

 

Inisiatif itu juga dimulakan untuk menggalakkan integriti di antara golongan masyarakat yang menekankan kebebasan untuk mendapatkan buku tanpa melalui sebarang kaunter pendaftaran keluar dan masuk.

 

Hingga kini, terdapat 13 Bukuhub yang telah ditubuhkan di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Johor, dan Bangi. 

 

Sempena perayaan Hari Natal tahun lalu, kakitangan UEM Sunrise juga telah memberi sumbangan bekalan runcit kepada rumah kebajikan, Sunteck Handicapped Welfare Organisation di Taman City, Kepong.

 

"Bermula tahun 2021 pula, UEM Sunrise akan meluaskan aktiviti lanjutan daripada program Bukuhub melalui pelbagai jalinan kerjasama serta edaran komputer-komputer kepada sekolah angkat PINTAR, projek menanam pokok di SIREH Park di Iskandar Puteri, Johor, dan sebagainya," tambah UEM Sunrise. - DagangNews.com