SHAH ALAM 7 Sept - Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO UiTM) melebarkan peranannya dalam memperkasakan warga OKU melalui jalinan kolaborasi bersama industri-industri luar, paling terbaharu dengan Prestariang Sdn. Bhd., subsidiari AwanBiru Technology Berhad (AWANTEC).
Pengarah Unit Perkhidmatan OKU UiTM, Ts. Dr. Roslinda Alias berkata, didokongi tanggungjawab sosial korporat (CSR), yuran penyertaan yang dikenakan oleh Prestariang amatlah minimum berbanding dengan nilai latihan-latihan yang terkandung dalam program peningkatan kemahiran dan perkembangan bakat ini, melalui platform pembelajaran dalam talian, Skillsoft Percipio.
Beliau berkata, dijenamakan sebagai “Upskilling the Disadvantaged: No One Left Behind”, program pertama seumpamanya di universiti awam Malaysia ini, bukan hanya tertumpu kepada mahasiswa OKU UiTM sahaja, bahkan melibatkan mahasiswa B40 UiTM dengan kerjasama Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf UiTM (ZAWAF).
Menurut beliau, seramai 120 orang mahasiswa OKU dan 80 orang mahasiswa B40 terlibat dalam program yang mempunyai dua fasa ini.
''Fasa pertama sedang dilaksanakan ketika ini, melibatkan 100 orang mahasiswa (60 mahasiswa OKU dan 40 orang mahasiswa B40). Manakala fasa kedua dijangka akan dilaksanakan pada Oktober 2021 yang akan melibatkan baki 100 orang mahasiswa OKU dan B40.
''Program ini merupakan terjemahan tanggungjawab, komitmen dan kepedulian UiTM terhadap komuniti kurang bernasib baik terutamanya warga OKU dan B40. Sebahagian besar daripada yuran penyertaan para peserta yang terlibat ditaja oleh UiTM, manakala selebihnya melalui pembiayaan daripada Tabung Cakna OKU UiTM (bagi mahasiswa OKU UiTM) dan juga Zakat UiTM (bagi mahasiswa B40),'' katanya kepada DagangNews.com di sini hari ini.
Dr. Roslinda berkata, program tersebut adalah selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu “melahirkan graduan holistik, berciri keusahawan dan seimbang” merupakan satu daripada inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi dalam memastikan kebolehpasaran mereka dalam masa yang sama dapat memenuhi keperluan industri.
''Menyedari kepentingan peningkatan kemahiran dan perkembangan bakat ini, UPO UiTM melebarkan peranannya dalam memperkasakan warga OKU melalui jalinan kolaborasi bersama industri-industri luar,'' jelas beliau.
Menurutnya, ketika Industri Revolusi 4.0 sedang memacu perkembangan ekonomi dunia, jangkaan pemain industri terhadap kualiti para graduan di institusi pengajian tinggi adalah tinggi.
''Keputusan akademik yang cemerlang bukanlah menjadi kayu pengukur semata-mata bagi kemenjadian dan kejayaan seseorang individu itu.
''Para graduan perlu mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran di luar skop pengkhususan mereka di samping memurnikan diri dengan kemahiran insaniah juga,'' jelas beliau.
Justeru kata Dr. Roslinda, inisiatif dan sikap proaktif para graduan melalui penglibatan dalam program-program peningkatan kemahiran “upskilling programme” dan juga juga program perkembangan bakat amatlah perlu.
''Moga dengan penglibatan dalam program ini bukan hanya dapat melahirkan graduan UiTM yang holistik bahkan mempersiapkan diri mereka dengan keperluan dan kemahiran yang diperlukan oleh industri dan negara,'' kata beliau. - DagangNews.com