UK pertama di dunia luluskan vaksin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

UK pertama di dunia luluskan vaksin COVID-19

 

 

LONDON 2 Dis. - Britain menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan kegunaan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dan ia dijangka dilancarkan seawal minggu depan. 

 

Vaksin ini dilihat jalan terbaik kepada dunia untuk kembali kepada keadaan normal dan menghidupkan semula ekonomi global setelah pandemik itu mengorbankan hampir 1.5 juta orang. 

 

"Kerajaan hari ini telah menerima cadangan dari Agensi Penguatkuasaan Produk Ubat dan Kesihatan (MHRA) untuk meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kegunaan. 

 

"Vaksin ini akan diagihkan kepada seluruh United Kingdom (UK) mulai minggu hadapan," jelas kerajaan negara tersebut dalam laporan Reuters.

 

Jawatankuasa vaksin di Britain akan membuat keputusan mengenai kumpulan mana yang akan diutamakan untuk mendapat suntikan pertama ini seperti penghuni rumah jagaan, kakitangan penjagaan kesihatan, warga emas atau individu yang secara klinikal mudah terjejas.   

 

Kedua-dua firma farmaseutikal, Pfizer-BioNTech dan Moderna sebelum ini melaporkan penemuan awal mereka yang vaksin ini mempunyai keberkesanan lebih 90%, kadar yang sangat tinggi dalam pecubaan vaksin, yang mana ia berasaskan teknologi RNA. 

 

Menurut Pfizer, penggunaan segera di Britain menandakan detik bersejarah dalam memerangi wabak COVID-19. 

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albert Bourla berkata, kebenaran ini adalah menjadi matlamat mereka sejak bekerjasama dan mengisytiharkan sains akan mencipta kemenangan. 

 

"Dalam hal ini, kami mengalu-alukan keupayaan MHRA kerana mengendalikan penilaian yang berhati-hati dan mengambil tindakan yang tepat untuk melindungi penduduk di UK.  

 

"Memandangkan kami turut mengambil kira kebenaran dan kelulusan selanjutnya, kami memberi fokus untuk bergerak dalam tahap yang sama dalam membekalkan vaksin yang berkualiti tinggi dan selamat di seluruh dunia," katanya.  

 

Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock berkata, menyifatkan ia satu berita gembira dan program itu akan bermula seawal minggu depan. 

 

"Hospital juga bersedia untuk menerima (vaksin) ini," katanya. - DagangNews.com